SHAH ALAM – Tidak mustahil perbuatan rasuah akan diiktiraf sebagai satu bidang perniagaan di negara ini pada masa akan datang sekiranya tidak dibendung segera.
Pemangku Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd Rafee Md Aris berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku berikutan jumlah individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut terdiri daripada kalangan orang yang berpendidikan tinggi serta golongan profesional.
“Malaysia mungkin menjadi salah satu negara yang akan menyaksikan rasuah diiktiraf sebagai satu perniagaan pada masa akan datang.
“Ramai yang terlibat jenayah kolar putih ini terdiri daripada golongan-golongan intelektual, graduan dan mereka berpendidikan tinggi.
“Bahkan profesor, doktor, peguam dan orang yang berkecimpung dalam bidang agama juga semuanya terlibat dalam rasuah. Tidak kira lelaki atau perempuan, semua terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Rafee berkata, kegiatan rasuah juga menjadi satu rantaian kolaborasi yang intelektual di mana kegiatan tersebut dijadikan sebagai satu keperluan untuk hidup dengan kekayaan.
“Malah, rasuah didominasi oleh orang-orang yang berkedudukan tinggi di bahagian penguatkuasaan sehingga kita melihat ia sesuatu yang menakutkan.
“Sehingga mereka boleh merencanakan siapa akan menjadi ketua yang akan memimpin mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rafee optimis usaha Rasuah Busters yang digerakkan Sinar Harian akan berjaya sekiranya diteruskan untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Setiap usaha yang dijalankan, kita sebagai rakyat Malaysia harus memberi sokongan. Setidak-tidaknya ada orang nak berusaha untuk mengubah keadaan yang berlaku sekarang,” katanya.