Home Rasuah Busters Tidak ada penjara VIP untuk pesalah rasuah

Tidak ada penjara VIP untuk pesalah rasuah

0
Tidak ada penjara VIP untuk pesalah rasuah
Mohd Firdaus dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk Jatuh Pemimpin Kerana Korupsi disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian, pada Rabu.

SHAH ALAM – Bekas Majistret, Mohd Firdaus Ramlan mengakui tidak ada sebarang fasiliti khas seperti bilik tahanan atau penjara orang kenamaan (VIP) yang disediakan dalam penjara untuk golongan banduan termasuk pesalah rasuah.

Mohd Firdaus yang merupakan bekas banduan atas kesalahan rasuah di Penjara Kajang berkata, konsep di dalam penjara adalah semua banduan akan dilayan seperti biasa sama ada dari segi penjagaan serta pemakanan.

Katanya, ketika dipenjarakan, dia hanya diasingkan selama 14 hari yang pertama sebelum bercampur dengan banduan-banduan lain.

“Hanya ada satu tilam nipis dan dibekalkan dengan selimut. Dari segi makanan pula, semua sama.

“Sebab dimasak di dewan makan penjara yang sama oleh banduan yang terpilih untuk bekerja di dapur,” katanya dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk Jatuh Pemimpin Kerana Korupsi disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian, pada Rabu.

Program itu turut menampilkan peguam, Fahmi Abd Moin; Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Razak Idris manakala Hazlin Hussain bertindak selaku moderator.

Menceritakan mengenai pengalaman rasuah dihadapinya, Mohd Firdaus berkata, perbuatan itu dibahagikan kepada empat fasa iaitu permulaan, perkembangan, perubahan dan pencapaian.

Menurutnya, fasa pertamanya merupakan proses suai kenal, dia dipuji sebagai permulaan dan beralih ke fasa kedua.

“Fasa perkembangan ini pula adalah fasa dia boleh berbincang dengan saya contohnya ‘jika tuan boleh bantu meringankan hukuman, saya akan beri (suapan) sebanyak ini’.

“Suapan yang diberikan itu adalah fokus dalam fasa perkembangan. Dari fasa itu, akan melalui fasa perubahan iaitu berubah daripada tidak kenal saya kepada kenal.

“Berubah daripada tidak berbincang secara terbuka kepada berbincang kepada terbuka,” ujarnya.

Katanya, apabila memasuki fasa perubahan pula, konteks suapan diberikan itu akan berubah iaitu daripada berfokus kepada membina reputasi antara penerima dan pemberi rasuah.

“Kemudian bila masuk fasa pencapaian, kita sudah tidak nampak bahawa rasuah itu menjadi satu salah sehingga kita menganggap itu satu amalan yang biasa.

“Kalau kita tahu dan kita tidak ambil apa-apa tindakan, kita boleh digolongkan sebagai ‘supportive corruptor’ (penyokong golongan korupsi),” katanya.

Mohd Firdaus dipenjarakan pada tahun 2010 atas dua kesalahan mengikut seksyen 16 dan seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 selama setahun tujuh bulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here