Home Rasuah Busters Terjebak rasuah demi jaga kepentingan, kedudukan

Terjebak rasuah demi jaga kepentingan, kedudukan

0
Terjebak rasuah demi jaga kepentingan, kedudukan

SEREMBAN – Demi menjaga kepentingan dan kedudukan antara faktor yang mendorong individu atau pemimpin itu terlibat dengan jenayah rasuah.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong, Rebin Birham berkata, kebiasaannya untuk mereka kekal berkuasa aliran wang yang banyak akan digunakan terutamanya dalam pemilihan di dalam parti politik.

“Itu antara faktor yang menyebabkan mereka salah guna kuasa, justeru itu perlunya badan pemantauan bebas dalam menyiasat urusan seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menolak jenayah rasuah mempunyai kaitan dengan dorongan orang sekeliling.

“Orang sekeliling juga memainkan peranan antaranya ada yang menghasut seseorang pemimpin untuk berbuat demikian dan apabila permintaan mereka tidak dipenuhi, mereka akan mengugut untuk tidak memberi sokongan kepada pemimpin berkenaan.

“Selain itu, mereka yang tidak mempunyai kualiti agama yang bagus juga antara faktor menyebabkan mereka terjebak dengan rasuah.

“Ada pemimpin yang beragama Islam, namun gagal memenuhi tuntutan agama,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperkasakan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memberi penekanan khusus kepada generasi muda.

“Kerajaan perlu menyemak akta sedia ada kerana bagi saya, terdapat peruntukan-peruntukan yang masih lemah dan perlunya satu hukuman yang lebih berat kepada pesalah.

“Dalam pada itu, kerajaan juga perlu mewujudkan silibus khas di sekolah supaya kesedaran ini dapat dipupuk dari peringkat awal demi menjamin generasi yang berintegriti pada masa akan datang. “Bagi pemimpin pula, perlunya pengisytiharan harta yang lebih telus.

“Ahli keluarga, rakan terdekat kepada pemimpin perlu membuat pengisytiharan ini kerana seseorang pesalah rasuah terutamanya pemimpin akan menggunakan proksinya di dalam sesuatu urusan yang salah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here