SHAH ALAM – Sudah tiba masanya untuk negara mempunyai barisan pemimpin baharu yang lebih telus, berintegriti dan memberikan manfaat kepada rakyatnya.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, barisan pemimpin yang bagus tidak akan membiarkan negara bebas daripada segala aktiviti rasuah.
“Sekarang, sudah sampai masanya. Rakyat mahu pengurus kebun yang baru, yang pandai, telus, jujur supaya hasil itu dapat dimanfaatkan kepada pemilik kebun. Ini kerana sekarang manfaat itu diberi kepada orang lain. Pemilik kebun sengsara.
“Kita kena tukar pengurus ini. Bagi saya, kumpulan pemimpin yang bagus tidak akan biarkan negara jadi macam ini. Mereka kena ada tanggungjawab. Malu dengan diri sendiri, malu dengan rakyat.
“Turun secara terhormat dan berilah peluang kepada pengurus baru untuk uruskan dan pulihkan balik apa yang telah rosak,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian semasa program Kompas Rasuah Busters Kebangkitan #MalaysiaTanpaRasuah yang disiarkan di semua platform Sinar Harian.
Turut menjadi panelis, Pengarah Urusan Kumpulan DNex, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh manakala Nurhayati Nordin bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, beliau berkata, manusia sering mengikuti perbuatan dilakukan berdasarkan apa yang dilihat.
Jelasnya, jika yang dilihat tidak telus, maka perbuatan itu turut dilakukan dan akan terus disebar menyebabkan rasuah semakin berleluasa.
“Ini yang saya rasa, sudah sampai masanya kita hindar. Tiga atau empat tahun kebelakang sudah berleluasa rasuah ini. Bukan hanya dari ahli politik, tapi berleluasa kepada semua pihak dan agama,” ujarnya.
Hussamuddin menjelaskan, gerakan Rasuah Busters ditubuhkan bagi membolehkan rakyat mengambil semula hak mereka.
“Kita ada sebuah kebun yang subur, cuma selama ini kita serahkan pengurusan kebun kepada orang yang salah.
“Jadi, apa yang Rasuah Busters buat ialah rakyat sedar, bangun bangkit dan sama sama memilih pengurus kebun yang mempunyai ciri-ciri yang tahu selok-belok uruskan kebun. Amanah, jujur dan juga beri pulangan kepada pemilik kebun.
“Apa sedang berlaku sekarang, pemilik kebun tidak dapat pulangan. Yang dapat adalah sanak saudara dan pengurus kebun. Jadi, sudah sampai masa rakyat bangun, bangkit untuk pastikan orang yang kita pilih ada integriti dan berkebolehan,” katanya.