Home Rasuah Busters Sogokan untuk menang pemilihan wakil pelajar

Sogokan untuk menang pemilihan wakil pelajar

0
Sogokan untuk menang pemilihan wakil pelajar

SHAH ALAM – Meskipun agak terpencil, rasuah melalui sogokan didakwa berlaku dalam kalangan pelajar di universiti khususnya dalam tempoh pemilihan wakil pelajar.

Ketua Penerangan UMNOSiswa Malaysia, Muhammad Iman Norhizam, 23, mendedahkan semasa mengendalikan pemilihan di universiti, beliau pernah melihat ada calon wakil pelajar memberikan wang kepada pelajar untuk mempengaruhi undian.

“Bila calon tidak berpengaruh dan kurang berkredibiliti lazimnya mereka akan menyogok pelajar dengan wang.

“Dari segi jumlah perbelanjaan, secara relatifnya agak banyak juga kerana ia diberi mengikut kelas. Bayangkan dalam satu kelas ada 30 orang pelajar, kita tak tahu berapa kelas yang dia akan bagi,” katanya kepada kru Rasuah Busters baru-baru ini.

Muhammad Iman yang juga merupakan pelajar jurusan undang-undang di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini memberitahu perbuatan tersebut adalah sesuatu yang agak sukar untuk dibuktikan apatah lagi diambil tindakan.

Apatah lagi, menurut beliau, amalan rasuah itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan cara oleh pihak ataupun individu yang tidak bertanggungjawab.

“Kadang-kadang perbuatan berbentuk rasuah yang dilakukan itu tidak salah mengikut peraturan. Macam kita nampak dalam politik sebenar, ada pihak yang akan bagi duit untuk balik kampung, duit minyak tambang dan makan minum dan sebagainya.

“Jadi macam itulah bentuknya. Ia tidaklah suruh pengundi pilih mereka secara langsung. Sebab itu saya cakap perkara ini boleh jadi sesuatu yang tidak jelas kedudukannya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat pelajar di universiti seharusnya memiliki kesedaran yang tinggi mengenai amalan rasuah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Kalau daripada universiti atau melibatkan peringkat wakil pelajar pun mereka dah tak kisah dan berfikiran ‘aku dapat duit, undi aku untuk kau’, jadi masa depan kepimpinan kita akan terjejas,” tegas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here