Home Rasuah Busters Semak semula undang-undang rasuah

Semak semula undang-undang rasuah

Semak semula undang-undang rasuah

SHAH ALAM – Sudah tiba masanya Malaysia menyemak semula undang-undang berkaitan rasuah dan meningkatkan hukuman terhadap pesalah rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia bagi pihak #Rasuah-Busters, Nurhayati Nordin berkata, hukuman yang lebih berat adalah amat wajar dan setimpal dengan kesalahan rasuah yang menyebabkan defisit demokrasi berlaku di negara ini.

“Keuntungan melalui rasuah jauh lebih kecil berbanding kerugian moral, kereputan sistem nilai, keruntuhan maruah negara yang membawa kepada kemusnahan negara sedikit demi sedikit.

“Memperkemas, menggubal dan mempertegaskan hukuman berkait rasuah dalam konteks semasa negara secara tidak langsung akan menzahirkan sistem perundangan yang lebih progresif,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau mengulas pandangan adik bekas Perdana Menteri keenam iaitu Tan Sri Nazir Tun Razak berhubung cadangan beliau mahu memperkenalkan dasar antirasuah seperti dilaksanakan di Hong Kong pada 1970-an sekiranya diberi mandat untuk memerintah negara.

Kerajaan Hong Kong ketika itu menawarkan pengampunan kepada kesalahan sebelum 1977, tetapi menggunakan dasar ‘shoot to kill’ atau tindakan yang tegas terhadap kesalahan rasuah pada masa akan datang.

Tegas Nurhayati, spektrum rasuah yang luas perlu difahami masyarakat sepanjang usaha pembanterasan sedang berlangsung.

“Mempertegas hukuman rasuah bukanlah sekadar memenuhi kepuasan emosi semata-mata.

“Ia berdasarkan rasional perundangan dan kehendak awam yang pada waktu ini memerlukan bentuk kawalan rasuah yang tegas,” ujarnya.

Katanya, saksama dan adil dalam menentukan sama ada hukuman mati, sebat atau lain-lain hukuman tegas terhadap pesalah rasuah mesti diangkat kepada perbincangan akademik dengan melihat pelbagai faktor sosiologi dan kesan kepada negara.

“Kesalahan rasuah perlu ditimbangkan seadil-adilnya iaitu sebab perlakuan rasuah, berapa jumlah yang terlibat, kerugian awam yang dialami, adakah pelakunya pegawai berjawatan yang memegang mandat rakyat?” tambahnya.

Jelasnya, rasuah oleh pemimpin politik misalnya harus dianggap sebagai pengkhianatan kepada negara kerana kesan kerugian akibat rasuah secara tidak langsung memberi implikasi besar kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan serta ia adalah penafian hak-hak asasi rakyat.

“Hukuman tegas perlu sebagai penghalang kezaliman daripada terus berlaku,” katanya.

Dalam pada itu tegasnya, besar harapan melalui penggubalan undang-undang keras terhadap jenayah rasuah menjadi titik tolak berlakunya transformasi pentadbiran, pengurusan yang lebih cekap serta pentadbiran yang lebih telus daripada semua pihak.

“Akhirnya, apa yang kita mahukan adalah kawalan terhadap sebarang ancaman rasuah kepada negara.

“Konsistensi kadar dan jenis hukuman kepada pelaku rasuah kecil atau besar perlu dinilai semula sebagai solusi penting untuk kita tangani krisis sosio ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara,” kata Nurhayati.

Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ketika ini memperuntukkan penalti am bagi kesalahan berkaitan rasuah ialah penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here