Home Rasuah Busters Semak semula tindakan penguatkuasaan

Semak semula tindakan penguatkuasaan

0
Semak semula tindakan penguatkuasaan

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan tindakan penguatkuasaan serta aspek pencegahan efektif dilaksanakan bagi menangani trend pelakuan rasuah dalam tempoh peralihan semasa dan pasca pemulihan Covid-19.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani mendakwa, kerajaan dilihat tidak tegas dalam pelaksanaan sistem, prosedur serta peraturan bagi memerangi rasuah di tempat kerja melalui Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dan Pelan Integriti Nasional (PIN).

Menurutnya, gejala rasuah di Malaysia bukan sahaja disebabkan faktor ketidakstabilan ekonomi negara tetapi berpunca daripada kelemahan nilai moral dan pemikiran individu itu sendiri termasuk gagal mengawal nafsu dan tamak selain tekanan politik.

“MTUC mencadangkan sistem dan mekanisme dikaji semula bagi memerangi rasuah serta salah guna kuasa membabitkan budaya berintegriti.

“Sebagai contoh seperti pendekatan pencegahan, pendidikan dan pendakwaan perlu disemak semula sesuai NACP yang digubal dua tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Selain itu, Mohd Effendy berkata, masyarakat dan pemegang taruh perlu memainkan peranan proaktif bagi memastikan isu rasuah dapat ditangani secara bersepadu dan bukan menjadi tugas kerajaan atau agensi awam semata-mata.

“Dari konteks pekerja, MTUC melahirkan kebimbangan mengenai aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia serta kemasukan secara haram ke negara ini yang melibatkan rasuah.

“Kesimpulannya, isu rasuah ini tidak boleh diambil tindakan sebelah pihak sahaja sebab jika tiada pemberi maka tiada penerima. Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pemberi rasuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Effendy berkata, kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi amalan bodek-membodek.

Jelasnya, tidak ada status jelas mengenai amalan bodek-membodek bagi mendapatkan sesuatu sebagai sebahagian daripada suapan atau rasuah.

“MTUC juga berharap bagi amalan bodek-membodek untuk mendapatkan sesuatu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada jenayah rasuah.

“Pindaan perlu dilakukan terhadap segala peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta 2009 [Akta SPRM 694] dengan meletakkan kesalahan bodek-membodek itu sendiri dengan lebih jelas supaya isu ini dapat difahami dengan lebih baik dan diatasi dengan lebih sempurna dalam negara kita.

“Sekiranya perkara ini tidak dihentikan dari sekarang amalan itu akan menjadi sebahagian daripada budaya dalam masyarakat yang bakal merosakkan imej negara,” jelasnya.

Terdahulu, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor sebanyak 53 peratus pada tahun sebelumnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here