SHAH ALAM – Semakan skim gaji dan elaun penjawat awam perlu dibuat sekurang-kurangnya lima tahun sekali bagi menangani kes rasuah membabitkan penjawat awam.
Naib Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan, Datuk Omar Osman berkata, semakan itu perlu diselaraskan dengan kos sara hidup semasa.
“Kerajaan perlu teliti pendapatan penjawat awam berdasarkan kos sara hidup dari masa ke masa kerana kita tahu ia sentiasa meningkat.
“Kenapa sebelum ini tidak timbul soal rasuah melibatkan penjawat awam dan sekarang ia banyak berlaku? Sebab itu perkara ini perlu dilihat semula,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Omar berkata, pendapatan tidak seimbang dengan kos sara hidup memberi tekanan dan membuka ruang terjebak rasuah.
“Bagi golongan B40 mereka bukan sahaja susah nak beli rumah, malah untuk tampung hidup ada yang terpaksa buat kerja sampingan pada waktu malam.
“Jadi mereka tiada masa rehat dan tidak sempat luangkan masa dengan keluarga. Bila gaji tidak cukup begini, kalau ada peluang dan ruang maka gejala rasuah itu boleh berlaku,” katanya.
Bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu berkata, ketika zaman beliau menerajui Cuepacs dari tahun 2006 hingga 2013, kerajaan melakukan semakan skim gaji penjawat awam lima tahun sekali.
Beliau berkata, jika dadah diistiharkan sebagai musuh nombor satu negara, rasuah pula boleh diibaratkan sebagai musuh nombor dua negara.
“Untuk selesaikan masalah rasuah daripada terus berlaku, kita kena selesaikan punca ia berlaku dan salah satu puncanya adalah mengenai gaji yang tidak selaras dengan kos sara hidup yang sentiasa meningkat,” katanya.
Tegasnya, sekiranya skim gaji dan elaun sentiasa disemak, ia juga boleh memberi motivasi kepada pegawai dan kakitangan kerajaan untuk melakukan tugas dengan penuh integriti, cemerlang dan sentiasa menjaga nama baik agensi dan jabatan.
Omar memberitahu, selain itu kuasa tertinggi dalam sesebuah organisasi juga perlu diteliti kembali agar sesuatu keputusan tidak hanya memerlukan kelulusan seorang individu kerana ia juga membuka ruang berlakunya rasuah.
“Setiap keputusan perlulah melibatkan perbincangan dan bukan bergantung pada seorang individu tertentu sahaja. Sistem ini perlu diubah dan ditambah baik.
“Pada masa sama kerajaan juga pula memperbanyakkan lagi program yang berbentuk pembinaan jati diri untuk memperkasakan integriti penjawat awam apatah lagi ketika ini ramai penjawat awam terdiri dalam kalangan golongan muda,” katanya.