Home Rasuah Busters Segera laksanakan inisiatif bersepadu menentang rasuah

Segera laksanakan inisiatif bersepadu menentang rasuah

Segera laksanakan inisiatif bersepadu menentang rasuah

SHAH ALAM – Usaha kerajaan melalui pengenalan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) merupakan perkembangan progresif ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang meletakkan integriti sebagai keutamaan dalam pentadbiran.

Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, komitmen yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini adalah petanda positif bahawa suara rakyat yang inginkan negara ini ditunjangi keadilan dan bebas rasuah dijadikan keutamaan bagi menjamin kestabilan.

“Untuk itu, pastinya rakyat Malaysia akan terus memastikan hanya kepimpinan yang telus, ikhlas dan berintegriti sahaja yang akan dipilih dan diangkat memegang tampuk pemerintahan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada Khamis bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju memperkenalkan satu pelan komprehensif yang akan menginstitusikan prinsip dan amalan tadbir urus yang baik.

Katanya, MyGovernance akan diperkenalkan di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun kerajaan.

Mengulas lanjut, Nurhayati berpandangan, mewujudkan sebuah pelan yang komprehensif bagi pengamalan tadbir urus yang baik bukanlah perkara baharu diusahakan oleh kerajaan.

“Bahkan, Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dengan 115 inisiatif telah meletakkan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang mempunyai pelan anti rasuah komprehensif untuk dilaksanakan dalam jangka lima tahun.

“Pihak kerajaan seharusnya turut memberi tumpuan kepada inisiatif NACP sekalipun hanya mencapai tahap pelaksanaan sebanyak 30 peratus dengan menambah baik dan meneruskan pelaksanaannya seiring dasar semasa kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya, sebarang inisiatif memperbaiki tadbir urus dan integriti dalam negara memerlukan perincian kajian, libat urus dan tempoh masa yang cukup panjang untuk semua pihak menzahirkan pelaksanaan efektif serta berimpak tinggi kepada pemulihan tadbir urus negara.

“Justeru, pelaksanaan MyGovernance dari sudut ini harus mengambil kira segala strategi yang telah dibangunkan dan harus dicantum untuk merealisasikan ia sebagai tambah nilai kepada inisiatif yang terdahulu,” katanya.

Selain itu katanya, pembentangan RUU Sumbangan Politik adalah merupakan keutamaan kerajaan bagi memastikan sistem politik yang stabil bergerak di atas paksi undang-undang khusus.

“Rasuah Busters juga percaya bahawa reformasi institusi secara menyeluruh perlu dilaksanakan segera.

“Selain pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan badan kehakiman juga perlu diletakkan di bawah Parlimen dalam memastikan ketelusan dan keberkesanan semak imbang berdasarkan fungsi yang digariskan oleh Perlembagaan negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here