Home Rasuah Busters Sebarang perubahan kepada institusi perlu menyeluruh

Sebarang perubahan kepada institusi perlu menyeluruh

0
Sebarang perubahan kepada institusi perlu menyeluruh

SHAH ALAM – Sebarang perlaksanaan perubahan dalam institusi penting kerajaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan serentak bagi memastikan nilai sistem kembali ke landasan yang betul seterusnya mampu menangani budaya rasuah di negara ini.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Mohammad Mohan berkata, meskipun tuntutan perubahan yang ditekankan membabitkan kebebasan dan ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara, kerajaan perlu melihat lebih daripada itu.

Menurutnya, ia demi memperolehi impak keputusan yang lebih baik pada masa hadapan.

“Kita kena bergerak serentak. Bicara tentang kebudayaan, maksud di sini adalah nilai iaitu salah satu daripada matlamat Rasuah Buster, kita mahu kembali kepada nilai sistem.

“Jadi untuk membuat perubahan, satu model yang saya rasa sesuai, kita kena buat serentak.

“Contoh, kita cerita tentang pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya. Itu saja tidak boleh, kerana kita juga perlu tengok pada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) yang masih bergabung buat masa ini,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian semasa Program Kompas Rasuah Busters Jangan Khianat: Henti Campur Tangan Dalam Institusi Negara yang disiarkan di semua platform Sinar Harian.

Turut menjadi panelis, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook manakala Dr G Manimaran bertindak sebagai Moderator.

Sebelum itu, Mohammad menekankan tuntutan perubahan Perlembagaan bagi menaik taraf SPRM sebagai suruhanjaya di bawah Perlembagaan dan lantikan ketua pesuruhjayanya dibuat melalui Parlimen.

Menurut beliau, pengasingan kuasa antara fungsi pendakwa raya dan peguam negara juga perlu kerana kedudukan kedua-duanya dilihat bercanggah membabitkan antara kepentingan kerajaan dan kepentingan awam.

“Untuk memastikan reformasi ini dapat dilaksanakan, perlu ada ‘political will’ dan diharapkan pemimpin kerajaan dan pembangkang dapat mencari jalan bersama.

“Ini adalah hasrat rakyat. Sudah lama didebatkan isu ini. Jika tuntutan ini tiada kemajuan, dan tiada keputusan, maka keyakinan rakyat juga akan hilang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here