SHAH ALAM – Kempen antirasuah melalui Rasuah Busters terus diperhebat dengan menyebarkan mesej kesedaran kepada orang ramai melalui sukan takraw.
Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah berkata, pasukan sepak takraw Kelantan Worriors diyakini mampu menyampaikan kesedaran kepada khalayak memandangkan kumpulan tersebut mempunyai pengikut yang tersendiri.
“Gastak sebenarnya ramai peminat. Jadi, saya yakin, daripada program yang kita buat, kita boleh menyebar luas kempen Rasuah Busters kepada pihak atas sehingga rakyat.
“Kita juga sekarang ini mempunyai platform media sosial. Jadi, kita boleh gunakan Instagram, Facebook untuk membantu menjayakan kempen Rasuah Busters,” katanya kepada Sinar Harian selepas Pelancaran Memorandum Persefaham (MoU) antara Rasuah Busters dan Gastak.
Mengulas lanjut, Zuraidin berkata, langkah menyertai Rasuah Busters tersebut diambil bagi memastikan industri sukan tidak dicemari dengan unsur-unsur yang tidak baik termasuk rasuah.
Jelas beliau, perbuatan rasuah akan menyebabkan mutu sukan negara jatuh dan tidak mempunyai integriti, ketulenan, keaslian dan menjadi gagal untuk mendidik masyarakat.
“Sebenarnya sukan untuk mendidik, melatih pemain dan peminat dengan ciri-ciri murni termasuk sekali antirasuah. Jadi, dengan sukan, memang tepat untuk membantu kempen Rasuah Busters,” ujarnya.
Sementara itu, Penasihat Projek Rasuah Busters, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, tindakan Gastak dan Kelantan Worriors menyertai Rasuah Busters adalah satu langkah permulaan kempen tersebut diperluas dalam bidang sukan.
“Kiita harap dengan kumpulan sepak takraw yang memulakan ini, kita akan pergi ke sukan-sukan yang lain untuk misi ini. Kita harapkan sangat rasuah tidak akan berlaku dalam bidang sukan,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya kesemua ahli Kelantan Worriors memahami dan menjiwai konsep antirasuah yang dibawa dan menyebarkannya, diyakini masyarakat terutama peminat akan mengikuti perkara yang sama.
“Saya yakin, pasukan sukan sama ada takraw, bola sepak, ia adalah satu cabang penyatuan rakyat tidak kira kaum, bangsa dan kawasan. Kalau mereka menghayati konsep antirasuah, Insya-ALLAH Rasuah Busters akan berjaya dan negara akan bebas daripada rasuah,” ujarnya.