Home Rasuah Busters #SatuJari tentukan negara jadi baik atau tidak

#SatuJari tentukan negara jadi baik atau tidak

0
#SatuJari tentukan negara jadi baik atau tidak
Badlishah

SHAH ALAM – Satu undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menjadi penentu keberadaan negara atas landasan demokrasi yang sihat bawah pimpinan yang berkemampuan, jujur dan amanah.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, beliau mengharapkan PRU15 akan memberi perubahan luar biasa kepada negara kerana Malaysia amat bergantung kepada pemimpin untuk membawa negara ke tahap lebih baik.

“Satu jari ini akan menentukan sama ada negara kita akan menjadi baik atau negara yang tidak baik. Menentukan pemimpin yang kita pilih itu pemimpin yang baik atau pemimpin yang korup. Juga menetukan sama ada kita berada atas demokrasi yang sihat dan matang.

“Jadi mohon ramai-ramai keluar mengundi untuk kita pilih pemimpin yang berkemampuan, jujur dan amanah, pastikan negara berada atas landasan yang baik dan kukuh,” katanya dalam rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘Reformasi Parlimen: Ubah Sebelum Parah’ yang dihoskan Asmaliza Mansor dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau mengulas Kempen #SatuJari gerakan Rasuah Busters yang turut menjadi simbol kebersamaan rakyat dan menjadi aspirasi baharu pencorak sejarah negara bermaruah, bebas rasuah dan teguh dengan pemilihan barisan kepimpinan yang berintegriti pada PRU15.

Enam kriteria calon yang wajar dipilih rakyat iaitu bersih daripada rasuah; bertanggungjawab; sedia membela nasib rakyat; berintegriti; jujur dan bijak disenaraikan menerusi kempen berkenaan.

Pada masa sama, Badlisha turut mengingatkan mana-mana calon yang bakal mendapat mandat kelak memastikan mereka berkhidmat untuk rakyat bukannya diri sendiri sekaligus tidak mengkhianati mandat yang diberikan.

“Jangan tabur janji manis tanpa ikhlas untuk tunaikan. Pastikan berintegriti dan ikhlas dan bebas rasuah. Jika orang baharu pastikan laksanakan rekod yang baik.

“Saya mahukan pemimpin yang memikirkan tentang generasi seterusnya, apa yang akan ditinggalkan kepada anak cucu kita. Jangan tinggalkan beban kepada mereka dengan kehidupan yang tak menentu, hutang yang melampau, tapi tinggalkan kehidupan yang selesa dan lebih baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here