SHAH ALAM – Sistem profiling merupakan satu proses dokumentasi penting bagi menyediakan senarai bukti sekali gus menjadikan data pintar yang diperoleh digunakan semula untuk proses pembangunan diri, kumpulan, organisasi dan masyarakat.
Begitu juga dengan pelaksanaan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag), kumpulan data saintifik serta berasaskan bukti digunakan oleh pihak pakar bagi tujuan penilaian diri dan seterusnya mengetahui tahap kecenderungan individu terhadap amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
Ketua Projek Alat Ukur Psikometrik RBTag, Prof Datuk Dr Mohd Tajudin Md Ninggal berkata, menerusi kepakaran yang dimiliki serta ahli kumpulan, pihaknya berjaya membangunkan kelengkapan dan perisian yang digunakan bagi tujuan proses pengujian psikometrik RBTag.
Beliau yang juga seorang pakar psikologi kaunseling berkata, menerusi data saintifik dan kajian terperinci yang telah dilakukan oleh pihaknya terhadap sosio budaya negara, satu kesimpulan berhubung tahap integriti seseorang individu dapat dicapai menerusi ujian psikometrik RBTag yang mengukur 10 tret personaliti diri.
Menurutnya, kajian sama telah digunakan oleh banyak negara maju termasuk negara jiran Singapura dalam menilai tahap kecenderungan seseorang terhadap tingkah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Dalam konteks ujian psikometrik RBTag yang dibangunkan oleh pihak kami ini, ia bertujuan melahirkan kumpulan pemimpin negara, korporat serta pegawai kerajaan yang berintegriti tinggi.
“Selain dapat menilai tahap integriti seseorang, ujian ini boleh digunakan sebagai proses mengenal diri, sekali gus memperbaiki diri bagi menjadi seorang pemimpin yang bersih dan berwibawa.
“Ujian psikometrik RBTag adalah satu kesimpulan daripada tahap integriti yang ada pada diri seseorang serta kecenderungan mereka terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sesi kedua ujian RBTag yang melibatkan 21 orang pemimpin politik di Kompleks Media Karangkraf, dekat sini.
Tajudin merupakan pencipta Profil Personaliti TAJMA iaitu alat ukur psikometrik atas talian yang pertama di Malaysia berasaskan nilai dan budaya masyarakat negara ini sejak 2003.
Hadir sama Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak; Felo Penasihat MCCF, Datuk Rosmadi Ghazali yang juga Rakan Operasi RBTag dan Rakan Sistem RBTag, Leo Leong.
MCCF merupakan rakan gabungan Rasuah Busters yang dipertanggungjawabkan mengendalikan ujian psikometrik RBTag.
Mengulas lanjut, Tajudin berkata, dia terpanggil untuk menawarkan kepakarannya untuk mencipta ujian psikometrik RBTag berikutan ramai pemimpin serta pegawai tinggi negara terlibat dengan pelbagai isu rasuah serta salahguna kuasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, bukan sahaja isu rasuah membabitkan golongan bawahan penjawat awam atau petugas penguatkuasaan, sebaliknya telah membarah di peringkat pemimpin atasan.
Sehubungan itu jelasnya, dia terpanggil untuk membawa suara, keluhan serta nadi rakyat yang sudah bosan dan meluat dengan pemimpin yang korup, sombong serta melakukan penyalahgunaan kuasa di negara tercinta ini.
Katanya, ia merupakan sumbangan kecil dan khidmat beliau kepada negara dengan mencipta alat ukur psikometrik RBTag bagi memerangi budaya rasuah yang telah berakar umbi sejak sekian lama.
Tegasnya, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara dan patriotik, masyarakat seharusnya berusaha membaiki apa sahaja kelemahan yang ada dengan ilmu dimiliki.
“Malah kita sebagai rakyat dan pengundi wajar memainkan peranan yang aktif untuk turut terlibat melahirkan sebuah negara bangsa yang maju.
“Dalam negara yang mengamalkan demokrasi, sudah pasti kita juga berhak untuk memilih pemimpin yang terbaik dan berintegriti untuk membawa negara Malaysia maju ke hadapan dan keluar dari belenggu najis rasuah dan salah guna kuasa yang sangat memalukan negara.
“Zaman sudah berubah. Kita sedang berhadapan dengan zaman yang inginkan ketelusan dan generasi milenium serta cerdik pandai yang inginkan negara dipimpin oleh mereka yang benar-benar berwibawa dan berintegriti.
“Maka menerusi penglibatan secara langsung dengan pelaksanaan ujian RBTag ini, ia merupakan sedikit sumbangan saya dan kumpulan kepada Malaysia untuk menjadikan negara maju dan bebas daripada rasuah,” katanya.