Home Rasuah Busters RBTag dapat sambutan menggalakkan

RBTag dapat sambutan menggalakkan

0
RBTag dapat sambutan menggalakkan

SHAH ALAM – Ujian Psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) mendapat sambutan menggalakkan daripada pemimpin-pemimpin politik.

Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, ia perkembangan yang sangat baik dan menjangkakan lebih banyak parti politik akan mengambil bahagian.

Menurutnya, setakat ini seramai 21 ahli politik daripada beberapa parti sudah menjalani ujian RBTag itu.

“Komitmen daripada parti politik sangat tinggi dan yang datang kepada kami untuk mengambil ujian ini adalah berperingkat. Setakat ini sudah ada dua sesi yang berlangsung dan sambutan itu sangat menggalakkan.

“Sebenarnya usaha ini telah dibuat ketika di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu. Di sana, kami sudah mendapat penyertaan dan sambutan yang meningkat setiap hari.

“Selepas ini, kami akan berada di Johor dan ujian ini akan diteruskan di sana ketika PRN Johor nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ujian RBTag yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis menyaksikan seramai 18 ahli politik daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Bendahari Agungnya, Lee Chean Chung telah mengambil bahagian.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha turut telah menjalani ujian tersebut sebelum ini.

Ujian RBTag yang baru diperkenalkan oleh Rasuah Busters merupakan satu alat pengukur kebolehpercayaan seseorang individu berkaitan tahap integriti masing-masing.

Mengulas lanjut, Nurhayati juga menyeru lebih ramai ahli politik untuk turut sama menjalani ujian tersebut sebagai satu cara untuk menilai integriti pemimpin masa depan negara.

“Ujian ini bukan nak tengok seseorang itu ambil rasuah atau tidak sebaliknya nak melihat bagaimana profil diri seseorang individu itu. Apabila dapat keputusan ujian itu, seseorang itu akan dapat menilai di mana kelemahan dan kekuatan mereka.

“Apabila sudah tahu kelemahan, maka mereka boleh perbaiki diri dan menjadi yang lebih baik kepada rakyat yang mengundi mereka.

“Ia sekali gus, memastikan misi gerakan Rasuah Busters untuk memulihkan negara dapat membuahkan hasil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here