Home Rasuah Busters RBTag buktikan kesungguhan individu jadi pemimpin bersih

RBTag buktikan kesungguhan individu jadi pemimpin bersih

0
RBTag buktikan kesungguhan individu jadi pemimpin bersih

KLUANG – Pelaksanaan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) kepada golongan pemimpin negara terus mendapat sokongan daripada orang ramai.

Tanpa berselindung, calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Riad Ahmad yang telah mengambil ujian RBTag menyokong penuh agar ujian psikometrik perlu dilakukan semua calon yang mahu bertanding pada pilihan raya.

Beliau yang juga Ketua Pejuang Muda Negeri Johor berkata, ujian psikometrik merupakan program yang sangat baik dan bagus untuk menilai sejauh mana keikhlasan memimpin atau kecenderungan terhadap amalan rasuah.

Katanya, menerusi keputusan yang diperolehi, seseorang calon pemimpin itu dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki sekiranya berjaya dipilih sebagai pemimpin.

“RBTag merupakan satu ujian psikometrik yang dapat membantu kita untuk menilai potensi diri.

“Jika seseorang itu benar-benar ikhlas memimpin, dia tidak perlu gentar untuk membuat ujian psikometrik RBTag ini.

“Kenapa perlu takut sedangkan ia bagus untuk menilai kecenderungan seseorang terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas potensi undi anak muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Riad berkata, golongan muda merupakan ‘king maker’ atau penentu kejayaan sesebuah parti.

Beliau yang juga Ketua Pejuang Muda Parlimen Muar berkata, undi anak muda sangat berharga kerana golongan ini pertama kali memilih.

Sehubungan itu kata Riad, pihaknya memberi keutamaan kepada golongan muda terutama memberi penjelasan tentang dunia politik negara.

“Bagi DUN Maharani, terdapat kira-kira 10,000 undi anak muda. Maka fokus kami adalah berjumpa dengan golongan ini bagi menerangkan politik semasa.

“Diharap penjelasan diberikan kepada mereka sedikit sebanyak akan membuka buah fikiran untuk menilai siapakah pemimpin atau parti politik yang perlu dipilih pada hari pengundian nanti,” katanya.

Sementara itu, Riad memberitahua akan memperjuangkan isu pekerjaan dan ekonomi masyarakat setempat.

“Ekoran Covid-19 yang melanda negara hampir dua tahun, kebanyakan peniaga kecil berhadapan masalah. Saya tahu mereka sangat memerlukan bantuan setelah berhadapan situasi sukar sepanjang Covid-19.

“Sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat, saya akan berusaha mengatasi masalah tersebut dan membantu golongan peniaga kecil mendapatkan bantuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here