Home Rasuah Busters Rasuah: Pemerkosaan kejam sistem kehidupan

Rasuah: Pemerkosaan kejam sistem kehidupan

0
Rasuah: Pemerkosaan kejam sistem kehidupan

SHAH ALAM – Khutbah Jumaat di Selangor menyentuh mengenai bahaya budaya rasuah yang akan membawa kesan kepada kehancuran sesebuah tamadun agama dan bangsa.

Teks khutbah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut menyatakan, perbuatan rasuah merupakan satu bentuk pemerkosaan kejam terhadap sistem kehidupan beragama, masyarakat dan negara.

Katanya, Islam menetapkan rasuah sebagai perbuatan dosa besar kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan salah.

“Tidak rasa bersalahkah kita dengan membawa pulang hasil pendapatan untuk membina kemewahan dan meninggalkan legasi haram kepada ahli keluarga serta keturunan?

“Ahli keluarga dan anak-anak yang membesar dengan sumber haram bukan sahaja tidak akan mendapat kebahagiaan bahkan hatinya juga keras malah jiwanya mudah cenderung melakukan perkara-perkara haram,” katanya.

Dalam pada itu, teks khutbah berkenaan berkata, rasuah juga akan menyebabkan tertolaknya ibadah dan doa kerana terkesan daripada sumber haram yang diperoleh tersebut.

Menurutnya, penegasan Islam sangat jelas tentang budaya rasuah malah agama ini turut melaknat dan memberi ancaman neraka terhadap orang yang memberi serta menerima rasuah.

“Situasi memberi dan menerima rasuah adalah situasi di mana Islam sebagai Ad-Din tertinggi sebagai cara hidup telah dihumban ke tempat yang sangat hina dan dipijak oleh umatnya sendiri serta musuh-musuhnya,” katanya.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin Islam dalam politik yang memegang tampuk kekuasaan di pelbagai peringkat diingatkan agar tidak menjadi pembuka ruang kepada perbuatan rasuah demi kepentingan kedudukan dan kuasa.

“Berwaspadalah wahai mereka yang memimpin dan berkuasa, anda semua tidak akan terlepas daripada perhitungan di hadapan ALLAH SWT tentang kepimpinan anda hari ini.

“Sesungguhnya ALLAH SWT itu maha luas pengetahuannya dan anda akan menerima balasan yang sangat pedih dan dahsyat, kerana anda telah mengundang kemurkaanNya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here