SHAH ALAM – Ukuran serta pengetahuan masyarakat berkaitan dengan halal dan haram semakin longgar menyebabkan rasuah kini dianggap normal.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, pengetahuan yang longgar itu menyebabkan masyarakat akan membiasakan perkara yang dilarang dalam kehidupan seharian mereka.
“Saya bagi contoh, dia kena saman RM300 selepas itu bayar kepada anggota polis RM100 untuk selesaikan saman, jadi saya rasa ini ibarat bisnes yang menguntungkan pemberi dan juga penerima.
“Perkara ini yang kita kena larang. Selagi nilai tidak dibetulkan, kita akan sentiasa ada masalah dengan diri sendiri. Sistem nilai ini yang menentukan moral dan karakter diri seseorang,” katanya pada program Bicara Bina Negara bertajuk ‘Hapuskan Rantaian Rasuah’ di Facebook Pertubuhan IKRAM Malaysia pada Isnin.
Turut menjadi panelis, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Mohd Parid Sheikh Ahmad dan Amin Idris bertindak sebagai moderator.
Untuk mengubah nasib, seseorang itu tidak perlu untuk mengambil rasuah tetapi hendaklah bekerja dengan lebih kuat.
“Jangan membiasakan budaya rasuah untuk hidup dalam keadaan senang. Nilai ini tidak diajar pada kita.
“Untuk selesaikan masalah ini, kita boleh kembalikan sistem nilai yang diajarkan oleh sesebuah agama. Maknanya bagi orang Islam, dia kena kembali agama. Begitu juga dengan agama lain,” katanya.
Bagi memperbaiki gejala rasuah dalam negara, katanya, perubahan drastik perlu dilakukan kepada masyarakat Melayu.
Tambah beliau, seseorang itu juga perlu berpegang pada nilai moral yang tinggi kerana ia merupakan satu penawar terbaik dalam menangani budaya rasuah di negara ini.
Menurutnya, jika seseorang mempunyai nilai tersebut, maka mereka dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.
“Kenapa rasuah berleluasa? Ini kerana kita biarkan ia berlaku seolah-olah kita reda dengan apa yang terjadi. Sepatutnya kita kena tentang sehabis mungkin.
“Bila kita berpegang pada nilai, kita akan membentuk karakter. Karakter kita adalah etika dan integriti yang kita amalkan. Justeru, nak jadi pemimpin kena ada etika dan ketelusan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama bangkit menolak rasuah dan kembalikan semula nilai moral dalam diri.
“Kalau tidak berbuat demikian, kita tunggu sajalah kehancuran,” katanya.