
SHAH ALAM – Tingkah laku hakim perlu dipantau secara berterusan oleh Suruhanjaya Integriti dan Agensi Penguatkuasaan (EAIC) serta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang salah laku termasuk rasuah.
Ketua Penerangan Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman berkata, kedua-dua suruhanjaya itu memainkan peranan penting dalam menjaga integriti sistem kehakiman negara.
“Tiada audit terus terhadap keputusan kehakiman bagi menjamin kebebasan kehakiman, namun laporan prestasi dan tatakelakuan boleh dipantau oleh badan penyelia.
“Saya juga menyarankan pelaksanaan sistem e-kehakiman yang merekod dan menyiarkan prosiding secara terbuka untuk meningkatkan akses serta keyakinan awam terhadap proses kehakiman,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Rayuan Putrajaya mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 terhadap bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas, 50, kerana menerima rasuah berhubung prosiding mahkamah.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Julai 2023 yang sebelum ini hanya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000.
Mengulas lanjut, Muhammad Izuan Faiz berkata keputusan tersebut menunjukkan komitmen sistem perundangan negara dalam menangani rasuah tanpa mengira kedudukan pelaku.
“Ia mesej jelas bahawa tiada siapa kebal di sisi undang-undang, termasuk mereka yang bertanggungjawab menegakkan keadilan.
“Namun, penjawat awam yang terlibat dalam salah laku boleh menyebabkan defisit kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman serta melemahkan moral penguat kuasa undang-undang,” ujarnya.
Beliau turut menambah, sekiranya terbukti seseorang hakim menerima rasuah dalam melaksanakan tugas, integriti terhadap keputusan kes yang pernah dikendalikannya boleh dipersoalkan.
“Ini berpotensi membawa kepada semakan kehakiman atau permohonan membatalkan keputusan terdahulu oleh pihak yang terlibat,” katanya.