Home Rasuah Busters Rasuah galak rampas hak orang lain

Rasuah galak rampas hak orang lain

0
Rasuah galak rampas hak orang lain

IMPLIKASI rasuah mampu meruntuhkan sesebuah negara kerana ia menggalakkan amalan merampas hak orang lain dalam sesuatu urusan.

Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muhammad Fadzli Hasan berkata, kegiatan rasuah perlu ditangani dengan segera kerana ia memberi kesan yang besar kepada semua peringkat masyarakat.

“Rasuah mesti terus dibanteras. Kalau kita nak anologikan ia, seolah-olah kalau dadah adalah musuh negara, maka kita kena sebut juga bahawa rasuah ini musuh utama negara sebab ia (rasuah) berkait rapat dengan berdirinya sesuatu negara bangsa itu.

“Kita telah tengok sendiri mana-mana negara yang catat Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tinggi boleh menyebabkan kemunduran sesebuah negara. Banyak berlaku penyalahgunaan kuasa dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, nilai dari aspek agama dan moral mempunyai kaitan dalam usaha membanteras kegiatan rasuah.

“Dari segi Islam sifat-sifat Nabi seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatonah pun dah ada nilai amanah yang perlu ada dalam diri pemimpin untuk bertanggungjawab ke atas jawatan yang diberikan termasuklah dalam isu menangani rasuah ini.

“Apabila seseorang itu memiliki sifat amanah, ia tidak akan berlaku penyalahgunaan kuasa, wang dan sebagainya.

“Maksudnya bukan soal agama, soalnya nilai yang hendak ditanamkan dalam diri rakyat atau penganut-penganut agama berkaitan bahayanya rasuah,” jelasnya.

Pada 28 Januari tahun ini, kedudukan Malaysia dalam CPI dunia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor sebanyak 53 peratus pada tahun sebelumnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here