Home Rasuah Busters Rasuah budaya tinggalan penjajah

Rasuah budaya tinggalan penjajah

0
Rasuah budaya tinggalan penjajah
Muhammad ketika Forum Kemerdekaan Malaysia dan Indonesia 2022 yang bertemakan ‘Generasi Penamat Budaya Rasuah dan Salah Guna Kuasa Dalam Konteks Malaysia-Indonesia’ yang diadakan secara maya pada Isnin.

SHAH ALAM – Rasuah merupakan sebuah legasi tinggalan kolonial yang digunakan untuk memastikan kesinambungan penguasaan mereka terhadap tanah jajahan.

Pensyarah kanan Fakulti Humaniora, Universiti Presiden (PresUniv), Dr Muhammad A S Hikam berkata, mengambil kira pengalaman dilalui oleh Indonesia, amalan rasuah sememangnya menjadi sebahagian daripada model pentadbiran pihak penjajah.

“Jadi dengan melakukan rasuah terhadap pegawai, penguasa daerah mahupun tradisional, ia sekali gus memastikan mereka mendapat dukungan untuk melanjutkan kekuasaan mereka.

“Perkara ini kemudiannya berlanjut meskipun selepas Indonesia memperoleh kemerdekaan,” katanya ketika menjadi panel dalam Forum Kemerdekaan Malaysia dan Indonesia 2022 yang bertemakan ‘Generasi Penamat Budaya Rasuah dan Salah Guna Kuasa Dalam Konteks Malaysia-Indonesia’ yang diadakan secara maya pada Isnin.

Program anjuran International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin dan Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Salleh.

Muhammad berkata, disebabkan tempoh penjajahan yang agak lama, amalan tersebut telah menjadi warisan yang menjadi sebahagian daripada budaya normal masyarakat.

“Jadi korupsi itu apabila sudah menjadi budaya, ia akan dinormalisasi seolah-olah tindak atau perilaku rasuah itu adalah sesuatu yang mendapat legitimasi daripada budaya kita (rumpun Nusantara), padahal sebetulnya tidak,” ujarnya.

Muhammad berkata, rasuah juga kini menjadi semakin kompleks dan canggih serta sukar untuk ditangani disebabkan ia diserap untuk menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat di dalam sesebuah negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk menangani masalah tersebut, terdapat dua komponen penting perlu dilakukan iaitu pembaikan terhadap moraliti dan kepemimpinan sesebuah negara.

“Tanpa kedua-dua komponen ini, adalah mustahil untuk membanteras rasuah yang kini sudah menjadi sangat kompleks dan canggih disebabkan ia sudah di tahap yang dianggap normal bahkan menjadi sebahagian daripada budaya.

“Contohnya dalam isu memberi hadiah yang merupakan suatu budaya masyarakat Asia. Perkara itu kalau kita tidak hati-hati boleh digunakan untuk menjustifikasi penyuapan dan begitu juga sebaliknya,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here