
SHAH ALAM – Amalan rasuah terus berleluasa kerana sudah lama berakar umbi dalam masyarakat selain kurangnya kesedaran mengenai keburukan jenayah itu.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, lebih membimbangkan apabila ada pelaku yang tidak berasa bersalah malah terus mengulangi perbuatan tersebut.
“Projek rakyat juga terjejas akibat rasuah yang melibatkan hubungan rapat atau istimewa hingga menjejaskan kualiti pelaksanaan.
“Mereka yang diberi amanah perlu bertindak profesional dan menolak rasuah demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk bekas pegawai khas kepada seorang ahli Parlimen kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM500,000 sebagai balasan meluluskan dana Projek Mesra Rakyat.
Kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan pada Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Dalam pada itu, Hamdan Daniel berkata, setiap individu perlu memainkan peranan dalam memutuskan rantaian rasuah.
“Kita perlu meletakkan kepentingan awam dan negara mengatasi kepentingan peribadi.
“Jelaslah bahawa rasuah adalah musuh utama yang mengancam kestabilan ekonomi negara,” tegasnya.