Home Rasuah Busters Rasuah bawa kerosakan moral, kerugian sosial

Rasuah bawa kerosakan moral, kerugian sosial

0
Rasuah bawa kerosakan moral, kerugian sosial

SHAH ALAM – Rasuah dalam negara bukan satu rahsia lagi dan dikhuatiri akan menjadi semakin parah sekiranya tidak dibendung di semua peringkat akar umbi.

Exco Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas), Ismawi Ishak berkata, gejala rasuah sering berlaku dalam agensi-agensi yang mempunyai kepentingan awam.

Beliau berkata, misalnya ia terjadi dalam kalangan pihak berkuasa di sempadan di mana sepatutnya untuk masuk ke Malaysia, ada beberapa perkara yang perlu diketatkan seperti peraturan kemasukan pekerja asing.

“Tetapi demi memudahkan tuntutan pihak tertentu, banyak urusan yang dipermudahkan walaupun ia salah di sisi undang-undang.

“Kadangkala pihak berkuasa tutup sebelah mata, maka kita dapati ramai warganegara asing yang masuk ke Malaysia melalui kaedah habuan tersebut.

“Orang awam tahu tetapi tidak ada satu bukti yang boleh menghentikan tindakan pihak terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Ismawi berkata, keadaan tersebut turut berlaku dalam sistem permohonan seperti lesen, permit, kebenaran dan kelulusan.

“Contohnya kru-kru kapal yang nak keluar perlu mendapatkan permit daripada bahagian atau daerah tertentu di mana prosedur tersebut kebiasaannya mengambil masa dua minggu.

“Tetapi bagi memudahkan urusan, pihak berkuasa menentukan bahawa seorang kru dikenakan caj RM100 di mana ada pihak yang main peranan sehingga permit tersebut boleh disiapkan dalam sehari dengan pemberian imbuhan tertentu,” ujarnya.

Beliau menegaskan, rasuah boleh membawa pada kerosakan moral dan kerugian sosial, malah pelaku itu sendiri telah memberi impak besar terhadap kecacatan pembangunan negara baik secara fizikal atau sebaliknya.

Tambahnya, perbuatan rasuah boleh menyebabkan berlakunya pembaziran terhadap sesuatu projek atau lebih parah projek tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Semua ini berlaku kerana rasuah telah menjalar daripada semua peringkat iaitu pemberi dan penerima secara berangkai.

“Pastinya yang paling terkesan adalah masyarakat awam secara keseluruhan. Jika melibatkan struktur jalan atau bangunan, sudah pasti ada projek yang tidak mengikuti piawaian standard sebenarnya yang telah ditetapkan.

“Maka kemudahan awam yang disediakan tidak mencapai matlamat kerana kekurangan bahan. Begitu juga keselamatan, akibat rasuah keselamatan akan terjejas kerana negara akan dibolosi oleh anasir-anasir asing,” jelas Ismawi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here