Home Rasuah Busters Rakyat terdesak ambil jalan pintas terlibat rasuah

Rakyat terdesak ambil jalan pintas terlibat rasuah

Rakyat terdesak ambil jalan pintas terlibat rasuah

SHAH ALAM – Kegawatan ekonomi ketika negara berdepan pandemik Covid-19 mengakibatkan rakyat terdesak mendapatkan wang sehingga ada yang mengambil jalan pintas dengan menerima dan memberi rasuah.

Presiden Majlis Pimpinan Tertinggi Rakan Siswa YADIM, Muhammad Ikram Mohd Zulkepli berkata, tanpa mempedulikan undang-undang jenayah rasuah, golongan tersebut bergantung harap kepada sumber itu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Lebih-lebih lagi dalam pandemik ini yang secara tidak langsung telah membantutkan sektor ekonomi sekali gus menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan.

“Ada segelintir masyarakat menggunakan alasan itu untuk menghalalkan amalan tidak beretika itu supaya mereka dapat menjalani kehidupan tanpa rasa bersalah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Muhammad Ikram berkata, jenayah rasuah yang tumbuh dalam negara akan memberi impak besar kepada komuniti dan masyarakat setempat khususnya kredibiliti seseorang.

Tambahnya, mereka yang berkebolehan dan kompeten akan kurang mendapat perhatian dan peluang untuk mempamerkan kebolehan sehingga akhirnya bakat mereka dibiarkan begitu sahaja.

Pada masa sama, masyarakat yang menggunakan jalan rasuah akan menyebabkan prestasi dan kualiti kerja mereka di sekelilingnya turut terjejas.

“Mereka yang tidak terlibat dengan rasuah akan hilang semangat untuk melakukan kerja dengan baik.

“Ini kerana, pada akhirnya mereka yang terlibat dengan rasuah diberi pengiktirafan yang tidak sepatutnya dan kerja keras dirompak begitu sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu, masyarakat perlu sentiasa mengukuhkan sistem nilai dalam diri masing-masing dengan mengamalkan sikap berintegriti dalam apa jua situasi.

Jelasnya, tiada guna jika pihak bertanggungjawab saja melakukan tugas mereka dengan baik tetapi rakyat sendiri tidak telus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here