SHAH ALAM – Tidak sekadar memantau sebaliknya rakyat perlu memastikan kerajaan baharu dibentuk akan benar-benar mengambil kira dan melaksanakan mandat diberikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, sebagai sebuah gerakan massa melibatkan banyak pihak dan pemegang taruh, Rasuah Busters akan meneruskan keterlibatan menentang amalan rasuah serta salah guna kuasa.
Malah katanya, bersama masyarakat sivil serta ahli politik mendokong prinsip antirasuah, sebuah negara stabil akan dipastikan dapat dilaksanakan oleh parti politik yang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Menurutnya, rakan gabungan Rasuah Busters berjaya melaksanakan pelbagai bentuk kajian yang amat diperlukan untuk negara memperbaiki dan memperbaharui apa yang ada pada masa ini demi kebaikan rakyat Malaysia secara umumnya.
“Kita sebagai rakyat akan memastikan mereka (pemimpin) betul-betul melaksanakan tugas. Apa yang menarik, kita bukan tawar untuk memerhatikan sahaja tetapi tawar untuk bersama-sama membangunkan negara yang bersih dan maju jaya.
“Saya menyeru kepada bakal-bakal pemimpin agar terus bersama Rasuah Busters untuk memastikan penyampaian kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan betul sekali gus menghasilkan manfaat dan memberi kesan terhadap perubahan politik, ekonomi dan sosial negara secara holistik.
“Selain itu, jangan fizikal sahaja yang kuat tetapi kerohanian kita sebaliknya. Masih hendak ambil lagi rasuah dan sebagainya.
“Kita tidak boleh berkompromi lagi dengan situasi seumpama itu kerana dalam jangka masa panjang, siapa yang dipilih akan menentukan jatuh bangun negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk ‘PRU15: Cuci Kasi Bersih’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu. Rancangan itu dihoskan oleh Sam Ghani.
Nurhayati berkata, apa yang diperoleh calon bertanding bukanlah kuasa tetapi satu tanggungjawab yang sangat-sangat besar diamanahkan oleh rakyat.
Menurutnya, semua itu dilihat sebagai mandat dan pengorbanan rakyat yang meletakkan diri mereka di dalam tangan pemimpin untuk ditadbir dengan baik.
Katanya, calon yang menang perlu sedar bahawa mereka bukanlah terbaik, malah mungkin ramai lagi berada di luar sana jauh lebih baik dan mampu untuk menduduki kerusi dimenangi itu.
“Hari ini, amanah itu diletakkan kepada mereka yang telah dipilih. Maka amanah itu perlu dilaksanakan dan ditonjolkan dengan penuh kejujuran dan tiada pengkhianatan.
“Malah perlu berhati-hati dengan para pengampu dan penasihat yang mungkin tidak memberikan laluan-laluan sebenar dalam menjalankan tanggungjawab sekali gus menyebabkan anda mungkin boleh terperangkap seperti dalam perangkap samar yang akhirnya memusnahkan diri secara sedar atau pun tidak.
“Apa yang penting, mengetahui bahawa akauntabiliti kita adalah kepada Tuhan. Yakin bahawa apa yang perlu kita buat itu adalah demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.