Home Rasuah Busters Pulihkan Malaysia melalui reformasi politik

Pulihkan Malaysia melalui reformasi politik

0
Pulihkan Malaysia melalui reformasi politik

SHAH ALAM – Masalah rasuah yang membarah sejak sekian lama membuatkan rakyat sangat terluka dan sudah sampai masanya untuk fasa bertindak ke arah menjadikan Malaysia antara 10 negara teratas bebas rasuah dalam tempoh terdekat.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, surat terbukanya kepada ahli Parlimen pada 1 September lalu merupakan manifestasi suara rakyat yang berjauh hati dengan sikap segelintir pemimpin negara.

Menurutnya, ini adalah masa terbaik untuk kesemua 220 ahli Parlimen duduk semeja dan mencari solusi dengan memperkenalkan akta yang membolehkan proses memilih pemimpin yang lebih adil dan telus.

“Rakyat memang mengharapkan agar kesemua pemimpin mendengar rintihan mereka dan surat terbuka itu adalah suara dan rintihan rakyat yang terluka. Kita tengok betapa dalam masa hampir dua tahun ini, kita sengsara.

“Selepas kita keluarkan surat terbuka itu, respon diterima cukup luar biasa dan kita dapat lihat rakyat sebenarnya sudah penat dan mahu perubahan. Mereka tahu perubahan hanya dapat dilakukan sekiranya pemimpin yang ada betul-betul jujur, duduk dan melakukan sebuah reformasi untuk menghapuskan rasuah,” katanya pada Jumaat.

Katanya, perubahan perlu dilakukan sekarang kerana jika pemimpin tidak menggunakan masa dengan baik, peluang akan terlepas selamanya.

“Negara kita perlukan reformasi undang-undang supaya kita dapat melakukan reformasi politik tetapi ia perlu bermula dengan orang politik mengetepikan perbezaan mereka, berhenti bergaduh dan maki hamun. Cukup-cukuplah,” katanya.

Jelas Hussamuddin, ramai dalam kalangan pemimpin yang menyokong usaha itu menghubunginya secara peribadi.

Malah, beliau melihat ada sinar apabila pemimpin berkenaan mahukan perubahan secara menyeluruh kerana selama ini mereka tidak berani memulakannya atas sebab terpaksa patuh dengan arahan pemimpin dan parti.

“Jadi, inilah masanya rakyat harus bangkit dan pemimpin-pemimpin sedar serta takut balasan Tuhan,” katanya.

Tambahnya, selepas mengeluarkan surat terbuka kepada pemimpin, #RasuahBusters yang merupakan gabungan yang terdiri daripada lebih 400 organisasi teguh dengan jutaan ahli dan penyokong akan memulakan inisiatif-inisiatif ke arah itu.

Gabungan itu katanya, akan memulakan sebuah gerakan rakyat untuk memaksa ahli-ahli politik membuat reformasi politik melalui pengenalan undang-undang di Parlimen dalam masa 20 bulan.

Jelasnya, ia dengan menjadikan pembanterasan rasuah sebagai salah satu teras utama, dengan memberi perhatian yang sewajarnya ke atas aspek-aspek yang lain seperti penggubalan Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik dan Akta Anti Lompat Parti serta pembaharuan struktur institusi negara.

“Kita sebenarnya sedang mengumpulkan pendapat awam dan kalau dilihat, kita banyak menghasilkan video-video dalam memberikan kesedaran kepada rakyat untuk bangkit membuat perubahan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here