SHAH ALAM – Kempen 1 Jari Bebas Rasuah merupakan satu inisiatif penting yang dapat membuka mata orang ramai terutamanya pengundi yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Pegawai Tadbir Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma), Firdaus Akbar Yacob berkata, ia berikutan pengundi perlu membuat penilaian menyeluruh dan bukan melihat pada parti sahaja, tetapi juga pada rekod calon yang terlibat.
Ujar beliau, rakyat disaran supaya menyelidik latar belakang dan penglibatan calon sebelum ini sama ada pernah terlibat dengan kes rasuah atau tidak.
Selain itu dari segi pendidikan mereka kerana jika pemimpin kita tidak mempunyai pendidikan, mungkin susah untuk mereka hendak memimpin.
“Memang mereka ada pengalaman sebagai pegawai khas dan sebagainya, tetapi saya tengok mereka ini lebih kepada membuat keputusan.
“Kalau bijak macam mana pun, tetapi tidak menentukan satu keputusan yang baik pun, tidak guna juga,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, ulas Firdaus Akbar, pengundi sendiri perlu sedar dan tahu apa yang mereka mahu daripada calon mereka.
“Kadang-kadang kalau kita nak orang (calon) itu bebas daripada rasuah, mungkin orang lain akan kata bahawa calon parti lain juga sama.
“Jadi, (pemilihan tersebut) terpulang kepada kita sendiri yang mengundi. Kita sendiri menilai siapa yang jujur, berintegriti dan bebas rasuah,” ujarnya.