NURHAYATI NORDIN
SHAH ALAM – Kesedaran menolak rasuah dan salah guna kuasa mula bertapak dengan baik di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, solidariti menolak rasuah telah berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Buktinya banyak calon ketika itu mengetengahkan manifesto berunsur integriti dan akan melaksanakannya jika sekiranya mereka terpilih menjadi wakil rakyat.
“Malah pengundi juga sanggup mengeluarkan belanja pulang ke kampung untuk mengundi kerana tidak mahu wakil rakyat yang mewakili parti yang terpalit dengan rasuah berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Khas ‘Solidariti Malaysia, Tempur Rasuah’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis Presiden Transperancy International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan dengan program dihoskan oleh Azlan Shah Nabees Khan.
Nurhayati berkata, gelombang anti rasuah juga turut disokong oleh agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Mungkin ramai yang masih tidak tahu SPRM, LHDN kini bekerjasama. Jika ada syarikat melaksanakan aktiviti berkaitan rasuah boleh dikecualikan dari tindakan pemotongan cukai.
“Bermakna kapasiti kempen bukan bersifat komersial semata-mata sahaja tetapi sekarang ini kita boleh buat aktiviti anti rasuah dan bersama-sama Rasuah Busters,” katanya.
Tambahnya lagi, Rasuah Busters (RB) diwujudkan kerana mahu membina sistem nilai.
“Nilai moral dan integriti kena selalu ulang-ulang sampai kita terasa sendiri jijik dan hinanya dan tak mahu terpalit dengan rasuah, kena ada ‘end game’ di situ.
“Sebab itu kami di RB, bila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim angkat sumpah kita dah mula mempersoal bagaimana pemilihan menteri kabinet akan dibuat.
“Sebab orang yang kita pertanggungjawabkan menjadi pemimpin (menteri) mesti berkeupayaan melakukan perubahan daripada sudut undang-undang,” ujarnya.
Malah Rasuah Busters juga mahu agensi seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu perlu diperkukuhkan lagi untuk memantau apa yang dibuat oleh kerajaan.
“Adalah penting gerakan rakyat diperkasakan, apabila diperkasakan perkara yang kita buat hari ini dapat sambutan dan ianya akan bergerak seiringan dan ketirisan, salah guna kuasa akhirnya dapat dibanteras,” katanya