Home Rasuah Busters PRU15: Mengundi untuk tentukan masa depan negara

PRU15: Mengundi untuk tentukan masa depan negara

0
PRU15: Mengundi untuk tentukan masa depan negara
Sallawahiu
Azlan Shah Nabees Khan
Ahmad Azam (depan) mengetuai bacaan Ikrar Deklarasi PRU15: Membina Karakter Bangsa yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

SHAH ALAM – Anak-anak muda yang menjadi pengundi pertama kali perlu mengundi untuk menentukan sendiri masa depan negara dan menolak pemimpin yang terpalit rasuah serta memperdagangkan mandat rakyat.

Presiden Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi peluang terbaik untuk melakukan perubahan agar negara benar-benar maju.

“PRU15 ini sangat signifikan setelah kita melalui dua badai besar yang melanda negara. Satu gejala rasuah yang teruk hingga dunia melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak mempunyai integriti.

“Yang kedua kita berhadapan dengan isu mandat rakyat yang diperdagangkan untuk kepentingan parti-parti politik. Oleh kerana itulah dalam PRU15 kali ini, kita ingin rakyat menolak pemimpin yang terlibat rasuah dan yang memperdagangkan mandat rakyat sesuka hati,” katanya pada program Deklarasi PRU15: Membina Karakter Bangsa di Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Ahmad Azam menegaskan, disebabkan itu, dua gerakan dakwah iaitu Wadah dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) bersama-sama Sinar Harian dan Rasuah Busters bergabung tenaga buat pertama kali untuk membantu pengundi memilih pemimpin.

Katanya, pemimpin yang mahu dipilih perlu mempunyai karakter yang terbukti sanggup berkorban untuk rakyat.


Telus dan jujur bina kepercayaan rakyat

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Sallawahiu Mohd Salleh berkata, ketelusan dan nilai jujur seorang pemimpin dapat membina kepercayaan dan kredibiliti dalam kaca mata rakyat.

Menurut beliau, negara memerlukan nilai-nilai tersebut agar kelancaran sebuah pentadbiran terus berjalan.

Ujarnya, mengambil analogi sebuah keluarga, ia tidak akan terbina atau bahagia dengan kehidupan yang diisi dengan pembohongan.

**media[1983649]**

“Bagaimana sekiranya jika seorang isteri tidak lagi berlaku jujur dengan suaminya. Bagaimana jika ibu bapa sudah tidak mempunyai kepercayaan terhadap anaknya? Hilang rasa selamat dan keutuhan sebuah keluarga tidak lagi bertahan,” katanya.

Jelasnya, sebagaimana sebuah keluarga yang bahagia itu dibina dengan nilai kepercayaan, maka perkara yang sama mesti ada pada kepimpinan sesebuah negara.

Ujar beliau, menjelang PRU15 yang tidak lama lagi, rakyat diingatkan untuk memilih pemimpin yang adil dan saksama.

“Ayuh bangkitlah dan pastikan kita akan memilih pemimpin yang jujur,” tambah Sallawahiu.


Ilmuwan agama perlu tegak integriti dalam masyarakat

Pengarah Eksekutif Yayasan ARBA, Azlan Shah Nabees Khan mengingatkan kepada seluruh ilmuwan agama untuk sentiasa menegakkan nilai-nilai integriti dan kejujuran dalam masyarakat.

Menurut beliau, ia kerana menerusi nilai itulah, Islam dapat disampaikan dengan begitu baik dan diterima hampir seluruh dunia.

Bagaimanapun ujarnya, terdapat sesetengah pihak yang bertindak sebaliknya dengan mempergunakan agama demi menghalalkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

**media[1983650]**

“Malang sekali kita berada pada satu zaman yang mana terdapat segelintir pihak yang menggunakan slogan agama atau bangsa bagi mengukuhkan kedudukan golongan yang pecah amanah. Negara kini berada di satu persimpangan yang getir dan ia satu malapetaka yang besar,” katanya.

Pada masa yang sama, Azlan turut menyatakan sikap tidak amanah dalam sesetengah pihak di negara ini telah menyebabkan berlakunya skandal-skandal korupsi.

Jelas beliau, meskipun krisis-krisis itu dilihat begitu mendalam, namun rakyat mempunyai pilihan untuk membuat sebuah perubahan iaitu semasa PRU15.

“19 November adalah suatu kesempatan untuk rakyat menentukan masa hadapan negara. Pilih pemimpin yang mempunyai sifat integriti, kehormatan diri dan memelihara hak rakyat dengan penuh tanggungjawab.

“Rakyat jelata, ‘bola’ ada di gelanggang kita, selamat menjalankan tanggungjawab buat semua warga Malaysia,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here