Home Rasuah Busters PRU15: Enam kriteria calon bebas rasuah

PRU15: Enam kriteria calon bebas rasuah

0
PRU15: Enam kriteria calon bebas rasuah
Majlis pelancaran dan sidang media Satu Jari Bebas Rasuah yang diadakan di Kumpulan Karangkraf yang dilancarkan oleh Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub. – Foto Sinar Harian/ Rosli Talib

SHAH ALAM – Rasuah Busters menggesa agar hanya calon yang memenuhi enam kriteria penting akan dipilih untuk melaksanakan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, enam kriteria itu adalah bersih daripada rasuah; bertanggungjawab; sedia membela nasib rakyat; berintegriti; jujur dan bijak.

Kita harus memilih orang yang paling baik untuk memimpin negara kita. Apabila adanya PRU15 ini kita seharusnya mengambil tanggungjawab untuk membuat pilihan dan sebab itulah kita harus keluar beramai-ramai untuk mengundi.

“Kita pilih calon yang betul-betul berintegriti, bebas rasuah dan bijak. Boleh mengeluarkan kita daripada masalah yang sudah bertahun kita hadapi ini. Keluarlah mengundi (nanti) bermain-ramai. Sampaikan mesej (bahawa) kita adalah bos yang memilih pemimpin dan sedia bekerja berdasarkan kriteria-kriteria yang disebut tadi.

“Seramai 222 (ahli Parlimen) yang akan kita pilih nanti akan menentukan negara kita (kerana) merekalah yang boleh mengubah undang-undang, meminda serta boleh melakukan apa sahaja perubahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media #SatuJari Sempena PRU15 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan beberapa wakil Pasukan Teras Rasuah Busters, Anas Zubedy; Profesor Harmandar Singh dan Rozaid Rahman yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.

Tambah Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf, rakyat juga perlu memastikan pemimpin yang bakal dipilih itu dapat memberikan akujanji bahawa mereka akan melakukan tugas yang terbaik, penuh integriti dan jujur kepada masyarakat.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen #SatuJari, beliau berkata, inisiatif itu diambil bagi menyampaikan mesej mengenai pentingnya nilai satu jari setiap pengundi dalam pilihan raya yang disifatkan paling mencabar ini untuk membawa perubahan kepada 32.7 juta rakyat Malaysia.

#SatuJari merupakan simbolik jari jutaan rakyat Malaysia yang mengharapkan perubahan negara daripada segenap aspek, yang mana nilai seorang keluar mengundi akan menentukan sistem infrastruktur, pendidikan, kesihatan kerjaya dan lain-lain kemudahan lebih baik untuk rakyat.

Selain itu, #SatuJari juga akan memastikan kedudukan ekonomi negara berada di kedudukan yang stabil, disamping turut membentuk pemerkasaan demokratik belia melalui Undi18 agar prihatin tentang tanggunbjawab dan hak kewarganegaraan yang perlu dipraktikkan dalam PRU15 nanti.

Kempen terbaharu gerakan Rasuah Busters itu juga turut menjadi simbol kebersamaan rakyat dan menjadi aspirasi baharu pencorak sejarah negara bermaruah, bebas rasuah dan teguh dengan pemilihan barisan kepimpinan yang berintegriti pada pilohan raya akan datang ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here