Home Rasuah Busters PRU15: Calon perlu selami permasalahan rakyat

PRU15: Calon perlu selami permasalahan rakyat

0
PRU15: Calon perlu selami permasalahan rakyat
Shamsuddin

SHAH ALAM – Jangan turun menyapa rakyat untuk memberi oleh-oleh pilihan raya tetapi seharusnya berusaha keras mengetahui permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.

Begitulah ditegaskan, perunding kewangan, Shamsuddin Kadir yang berkata, kempen pilihan raya bukan medan menghulurkan sumbangan sebagai umpan undi, sebaliknya perlu dijadikan platform mendekati serta menyelami ‘denyut nadi’ rakyat.

Katanya, sekiranya calon turun berkempen untuk menyampaikan bantuan, negara sudah memiliki Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menguruskan perkara tersebut.

“Sebenarnya dah tak perlu hendak menghulurkan bantuan atau sumbangan. Pergi melawat semasa berkempen hanya sekadar hendak meraikan rakyat.

“Apa yang sepatutnya dilakukan adalah bertanya, apakah isu yang perlu kami bawa ke Parlimen? Ini kerana seorang calon itu adalah law maker atau penggubal undang-undang.

“Tetapi apabila dia (calon) tidak buat perkara tersebut dan hanya memberi duit sebagai umpan undi, apa hujah dan permasalahan rakyat yang mahu dibentangkan di Parlimen nanti?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘PRU15: Beli Rakyat Dengan Wang’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis. Rancangan itu dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, kebanyakan wakil rakyat yang telah dipilih sebagai pemimpin sekadar hanya pandai merepek di dalam Parlimen.

Jelasnya, pemimpin seumpama itu berada di dalam Parlimen yang dipilih oleh pengundi penerima suapan diberikan sebelum pilihan raya.

Disebabkan itu katanya, Malaysia tidak boleh terus berkembang dan mencapai kejayaan lebih cemerlang disebabkan perbuatan rasuah.

“Rasuah yang masih diterima oleh rakyat biasa dengan alasan ini yang diberikan oleh wakil rakyat, perkara seumpama ini sudah tidak boleh lagi diterima.

“Tetapi saya berasa hairan, kenapa musim PRU baru hendak kena bagi? Pada saya, dia (calon) patut pergi melawat sahaja orang ramai, bukanya perlu menyerahkan pelbagai sumbangan. Kes seumpama ini banyak berlaku pada musim PRU,” katanya.

Tambahnya, tidak sepatutnya apabila hendak pilihan raya, banyak ‘gula-gula’ diberikan kepada masyarakat umum.

Menurutnya, rakyat perlu menilai dengan baik kerana secara hak dan mengikut undang-undang, seorang calon tidak boleh memberi apa-apa sumbangan semasa proses berkempen.

Tegasnya, calon yang bakal menjadi penggubal undang-undang negara, sebenarnya perlu tahu apa lagi permasalahan rakyat yang perlu diangkat ke Parlimen dan dibincangkan bagi dijadikan undang-undang, sekali gus menggubal undang-undang untuk membela nasib rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here