Home Rasuah Busters Prolintas rakan strategik korporat pertama Rasuah Busters

Prolintas rakan strategik korporat pertama Rasuah Busters

0
Prolintas rakan strategik korporat pertama Rasuah Busters

SHAH ALAM – Syarikat konsesi lebuh raya, Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) tampil sebagai rakan strategik korporat pertama menyokong kempen Rasuah Busters.

Ketua Jabatan Integriti Prolintas, Dr Rozaidi Razali berkata, kerjasama itu bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang menolak rasuah.

“Salah satu strategi kita menjayakan kempen ini adalah dengan mempamerkan mesej antirasuah pada papan maklumat elektronik (VMS) di lebuh raya di bawah Prolintas.

“Kita mempunyai 18 unit VMS seperti di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Guthrie dan Lebuhraya Kajang Silk,” katanya selepas menghadiri mesyuarat kolaboratif Rasuah Busters di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Mesyuarat itu berlangsung antara Prolintas bersama Pasukan Rasuah Busters yang diwakili Ketuanya merangkap Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Rozaidi berkata, Rasuah Busters adalah kempen yang sangat bagus kerana pihak media tampil memainkan peranan proaktif mempromosikan gerakan menolak rasuah dalam masyarakat.

Menurutnya, peranan membanteras rasuah tidak boleh diletakkan pada bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja kerana untuk memastikan rasuah benar-benar dapat ditangani, ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk komuniti, pihak swasta dan media.

Katanya, penglibatan dalam perjuangan Rasuah Busters itu juga seiring dengan usaha Prolintas yang memberi tumpuan memerangi gejala rasuah dengan tertubuhnya Unit Tadbir Urus dan Integriti (IGU) pada tahun 2017.

“Dari situlah ia berkembang menjadi Jabatan Integriti dan sehingga kini kita telah jayakan banyak inisiatif.

“Baru-baru ini, kita mengadakan kempen dengan mengedarkan 100,000 pelekat antirasuah kepada pengguna lebuh raya dan ia mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records,” katanya.

Beliau memberitahu, usaha tersebut membuatkan Prolintas muncul sebagai syarikat pengendali lebuh raya pertama mendapat pensijilan antarabangsa ISO 37001:2016 bagi sistem pengurusan antirasuah (ABMS) daripada badan penilaian yang diakreditasi Jabatan Standard Malaysia, SIRIM QAS dan United Kingdom Accreditation Service.

“Saya difahamkan kurang daripada 100 syarikat sahaja yang memiliki ABMS ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, sejak kempen Rasuah Busters dimulakan sebulan yang lalu, ia mendapat sokongan hebat daripada pelbagai pihak.

“Kita bersama Prolintas sebagai syarikat korporat pertama menyokong dan melakukan dalam kapasiti yang mereka ada.“Kita gelombangkan gerakan Rasuah Busters ini daripada semua peringkat.

“Itu istimewanya gerakan ini kerana ia bukan digerakkan oleh satu badan secara formal sebaliknya satu gerakan rakyat yang mahukan generasi lebih baik.“Sasaran kita sebenarnya pada ekosistem. Pihak yang berminat boleh melayari portal Rasuah Busters,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here