IPOH – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) komited membudayakan nilai integriti kalangan kakitangannya dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Ketua Unit Integriti PPPNP, Mohd Iqmal Aliff Muzakir Sanwani berkata, pembudayaan itu bagi meningkatkan lagi penyampaian kualiti perkhidmatan dalam semua bidang.
Menurutnya, sejak Unit Integriti ditubuhkan pada Disember 2020 lalu, pelbagai pengisian program telah dirancang untuk memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai integirit kepada hampir 2,000 warga kerja perbadanan itu.
“Unit Integriti PPPNP telah menerima pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) pada April tahun lalu dan kini dalam proses untuk mendapatkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP).
“Pensijilan ini menjadi manifestasi komitmen PPPNP untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan profesional dengan penekanan tegas terhadap nilai-nilai etika dalam setiap aktiviti dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Konvoi #RasuahBusters ke Perak di Bangunan PPPNP di sini pada Selasa.
Mohd Iqmal Aliff berkata, komitmen unit itu turut dipamerkan menerusi pelaksanaan program yang berkait rapat dengan penyebaran mesej anti rasuah.
Katanya, antara program terbabit, sembang santai yang menyentuh isu-isu semasa integriti, jelajah antara jabatan dalam memberi peringatan mengenai bahaya rasuah serta pertandingan sudut integriti yang melibatkan kalangan kakitangan kilang dan ladang milik PPPNP.
“Unit Integriti juga tidak ketinggalan membuat hebahan setiap minggu kepada semua kakitangan menerusi emel dan aplikasi WhastApp mengenai gejala rasuah ini.
“Hebahan berbentuk sketsa, info grafik, poster, kisah-kisah tauladan, tazkirah dan himpunan doa ini menjadi wadah didikan agar semua dapat bersama-sama berganding bahu bekerja sebagai satu pasukan yang bebas dari segala bentuk rasuah,” katanya.
Konvoi #RasuahBusters ke Perak selama tiga hari bermula Ahad lepas memfokuskan pengukuhan kerjasama rakan gabungan bersama pemegang taruh di negeri ini bagi memperluaskan kesedaran pembangunan #NilaiMoralKarakterBangsa secara khususnya; bersesuaian isu dan budaya masyarakat setempat.
Agenda integriti dan cegah ketirisan diharap dijadikan keutamaan dalam semua aspek tadbir urus di setiap komuniti dan negeri demi melahirkan Malaysia yg bersih daripada virus rasuah dan salah guna kuasa.