SHAH ALAM – Institusi politik di negara ini sukar untuk dimerdekakan kerana sikap pemimpin dan parti yang bercakaran merebut kuasa.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pemimpin dan parti banyak merosakkan pemikiran rakyat dengan agenda mereka tersendiri sekali gus menjerumuskan negara dalam krisis politik.
“Kalau kita nak membincangkan tentang merdeka dan bagaimana untuk membebaskan diri daripada orang politik, kita masih jauh lagi daripada perkara tersebut.
“Budaya politik masih bergantung kepada pemimpin, parti politik dan sifatnya yang menyebabkan kita terperangkap dengan strategi perjalanan politik yang ada di negara kita.
“Sebab itu, rakyat susah nak percaya orang politik dan saya yakin ramai yang telah menjauhkan diri daripada politik kerana kecewa, bosan dan meluat dengan perkembangan politik negara,” katanya dalam program Kompas Rasuah Busters ‘Merdekakan Aku’ bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-65 disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Program itu turut menampilkan pendakwah, Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Exco Persatuan Tadika Islam Malaysia, Prof Madya Dr Hamdan Daniel M Sharib manakala Zaim Zaini bertindak selaku moderator.
Mohamad Tawfik berkata, keadaan politik di negara ini juga sangat berbeza berbanding negara maju yang lain dengan parti politik luar negara lebih terbuka untuk mengetepikan persengketaan politik demi rakyat dan negara.
Menurutnya, tindakan itu menyaksikan negara maju dapat bergerak ke hadapan dan mengatasi segala masalah seperti isu ekonomi, pendidikan dan sebagainya yang sedang membelenggu mereka.
“Itu sebenarnya merdeka yang tulen dengan memastikan kita menyemai sikap merdeka itu bukan sahaja dalam konteks agama, pendidikan tetapi juga dalam politik. Politik itu mesti bersih dan bebas pengaruh parti dan pemimpin yang toksik dan mencemar pemikiran rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya Malaysia boleh bergerak ke arah politik yang merdeka, namun akan perlu menempuh perjalanan yang agak berliku.
“Sebenarnya sudah ada beberapa tindakan yang dibuat boleh dipuji seperti Akta Anti Lompat Parti yang sudah diluluskan dan itu yang rakyat mahukan. Namun, usaha lebih menyeluruh perlu dilakukan untuk memerdekakan politik negara,” katanya.