Home Rasuah Busters PM perlu bertindak segera tangani kes rasuah

PM perlu bertindak segera tangani kes rasuah

Awang AzmanAnwar- Foto Bernama

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bertindak segera tangani kes rasuah, yang menjadi tonggak perjuangannya selama ini.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sekiranya Anwar tidak segera bertindak, rakyat akan beranggapan ia hanya retorik politik yang semata-mata untuk meningkatkan imej politiknya.

Ini kerana katanya, rakyat di negara ini sudah lama berhadapan dengan kes-kes ketirisan dan rasuah terutama melibatkan orang politik.

“Anwar sering mengetengahkan isu amalan rasuah dan kepincangan pemimpin politik dalam isu memunggah kekayaan negara. Kini Anwar masih lagi mengetengahkan isu ini dalam majlis rasmi beliau tetapi belum ada satu tindakan yang berani dan konkrit,”katanya kepada Sinar Harian.

Sekiranya masih tiada tindakan konkrit yang diambil terhadap kes-kes rasuah katanya, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap beliau.

**media[2044626]**

“Bagi mendapatkan keyakinan rakyat, Anwar perlu bertindak tegas terhadap gejala ini dan tidak boleh bertolak ansur.Tindakan susulan perlu diambil segera olehnya kerana sebagai Perdana Menteri, beliau perlu memastikan amalan ini dihentikan dan segala yang didedahkan dapat tindakan segera dan menyeluruh,” katanya.

Anwar dalam majlis Munajat Ambang Tahun Baharu 2023, Masjid Putra, Putrajaya, pada Ahad menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya ingin membawa pelbagai perubahan kepada negara.

Anwar dilaporkan berkata, komitmennya untuk membendung masalah rasuah yang dikatakan masih lagi dilakukan oleh kelompok kecil dalam kerajaan.

Beliau juga akan mengambil tindakan tegas terhadap kelompok kecil itu kerana ia boleh mencemarkanimej Kerajaan Perpaduan.

Anwar juga menegaskan bahawa beliau akan menamatkan amalan rasuah yang didakwanya menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah kekayaan.”

Sementara itu, Awang Pawi berpendapat, Anwar boleh melaksanakan pendekatan itu melalui tindakan segera menerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Agensi ini misalnya perlu lebih proaktif bagi memastikan siasatan dan tindakan tegas dapat diambil termasuk tangkapan reman dan proses mahkamah.

“Menangguhkan tindakan tegas akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan terjejas dan populariti kerajaan perpaduan akan menurun,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here