Home Rasuah Busters PKPIM Kelantan kesal kes rasuah pelajar IPT meningkat

PKPIM Kelantan kesal kes rasuah pelajar IPT meningkat

0
PKPIM Kelantan kesal kes rasuah pelajar IPT meningkat

SHAH ALAM – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Kelantan memandang serius penglibatan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dengan amalan rasuah.

Yang Dipertua PKPIM Kelantan, Muhammad Aqil Iqbal Mohd Zulkiffli berkata, penularan gejala buruk itu pastinya boleh menjejaskan kredibiliti kumpulan terpelajar negara sebagai tunjang barisan kepimpinan pada masa hadapan.

Menurut beliau, berdasarkan dapatan Kajian Persepsi Kecenderungan Tingkah Laku Rasuah Dalam Kalangan Mahasiswa oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), sebanyak 14.3 peratus responden daripada 2,254 orang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta swasta (IPTS) pernah ditawarkan rasuah.

Katanya, kajian tersebut juga menunjukkan sejumlah 11.4 peratus daripada jumlah tersebut pernah diminta untuk melakukan perbuatan rasuah.

“Umum mengetahui, majoriti tonggak kepimpinan negara bertitik tolak daripada mereka yang bermula dari peringkat belia serta mahasiswa.

“Sudah pasti ianya menjadi kegusaran buat semua pihak apabila gejala negatif ini kian meningkat dalam kalangan pelajar di IPTA dan IPTS,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhammad Aqil berkata, saban hari masyarakat dapat melihat gejala rasuah melibatkan barisan kepimpinan tertinggi negara.

Tambah beliau, penglibatan golongan harapan negara dengan gejala rasuah bermula di peringkat bawahan sehinggalah nasional, malah sudah menjadi barah yang memberi kesan kepada negara.

“Perbuatan menjijikkan ini seakan makin berleluasa, malah dilakukan secara terbuka tanpa rasa segan silu,” katanya.

Muhammad Aqil berkata, PKPIM Kelantan yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggerakkan Malaysian Youth Anti Corruption Taskforce (MYACT) Zon Timur menjalankan beberapa program bersama masyarakat.

Menurutnya, penganjuran tersebut turut mendapat kerjasama daripada PKPIM pusat, Majlis Belia Malaysia (MBM), Belia Rasuah Busters Sinar Harian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Malaysia Reform Initiative (MARI), Kedutaan Amerika Syarikat dan United States Agency for International Development (USAID).

Katanya, program itu mengajak seluruh masyarakat khususnya belia untuk sama-sama membanteras amalan rasuah, seterusnya membina generasi pemimpin berintegriti tinggi.

“PKPIM Kelantan bersama pihak ABIM Kelantan dan Youth Care Malaysia Kelantan juga giat menggerakkan kempen kesedaran tentang tindakan serta cara pencegahan rasuah dalam kalangan mahasiswa khususnya di negeri Kelantan.

“Semoga kecaknaan dalam membanteras gejala rasuah yang bermula dalam kalangan mahasiswa dan belia ini mampu melahirkan pemimpin masa hadapan yang berintegriti serta bebas daripada najis rasuah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here