Home Rasuah Busters Pilih pemimpin bebas rasuah untuk selamatkan negara

Pilih pemimpin bebas rasuah untuk selamatkan negara

0
Pilih pemimpin bebas rasuah untuk selamatkan negara

ALOR SETAR – Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang bersih daripada isu rasuah dan salah guna kuasa untuk selamatkan negara.

Pengasas Ummah Kedah, Noor Hakimi Ab Halim berkata, sekiranya golongan yang terbabit dengan rasuah dipilih sebagai pemimpin, negara akan tergugat dan menyebabkan kerosakan yang sangat membimbangkan.

“Semua parti politik di negara ini sama ada pemerintah mahupun pembangkang perlu berusaha meningkatkan lagi kualiti kepimpinan selain mengetengahkan pemimpin yang bebas rasuah.

“Individu yang mempunyai kuasa, berjawatan dan berkepentingan lebih berpotensi terjebak dengan jenayah rasuah.

“Dengan usaha bersepadu ini, sama ada dalam kalangan pimpinan kerajaan atau pembangkang, isu rasuah boleh diatasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Hakimi berkata, apabila negara ditadbir urus oleh pemimpin bebas rasuah, sudah tentu usaha membanteras jenayah itu akan lebih berjaya dan negara akan menjadi makmur serta mendapat naungan ALLAH SWT.

Menurutnya, rasuah adalah isu besar kerana boleh membawa kepada bencana terhadap negara.

“Rasuah mampu menjejaskan sistem pemerintahan, pertahanan, ekonomi, sosial, malah melibatkan hukum-hakam dalam agama Islam sebagai agama rasmi.

“Jenayah rasuah perlu dilihat sebagai satu kerosakan akhlak kemanusiaan yang terburuk terhadap sesebuah negara. Ia bukan sahaja berlaku di semua negara di dunia, termasuk negara kita,” katanya.

Noor Hakimi berkata, sesebuah negara itu diterajui pemimpin yang memiliki kuasa pemerintahan, diuruskan oleh individu yang berjawatan, digerakkan oleh individu yang berkepentingan dan dihuni rakyat yang menjalani kehidupan pelbagai ragam.

“Justeru, undang-undang anti rasuah dibentuk melibatkan permintaan, penerimaan atau pengambilan.

“Semua yang terlibat dengan rasuah perlu dibawa ke muka pengadilan sama ada pihak yang menawarkan rasuah atau menerima,” katanya.

Menurutnya, manakala pihak yang menyembunyikan jenayah rasuah, sedangkan dia mengalaminya perlu didakwa sebagai bersekongkol dengan jenayah itu.

“Nabi Muhammad SAW bersabda, sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kekuasaannya), jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman,” katanya.

Tambah Noor Hakimi, kekuasaan yang dimiliki menerusi saluran undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan sepenuhnya bagi membenteras jenayah ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here