Home Rasuah Busters Pertandingan Dondang Sayang sebar mesej antirasuah

Pertandingan Dondang Sayang sebar mesej antirasuah

0
Pertandingan Dondang Sayang sebar mesej antirasuah

SHAH ALAM – Biarpun julung kali dianjurkan, Pertandingan Dondang Sayang bertema anti rasuah yang bermula sejak Mei lalu menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pertandingan pantun bertema anti rasuah itu merupakan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, pertandingan itu berupaya menarik perhatian ramai peminat seni budaya Melayu itu dari seluruh negara termasuk penyertaan dari Wilayah Persekutuan Labuan.

“Syukur Pertandingan Dondang Sayang yang dianjurkan ini telah memasuki peringkat akhir baru-baru ini setelah terbatas ekoran pandemik Covid-19.

“Biarpun julung kali pertandingan pantun bertemakan anti rasuah ini diadakan, penglibatan masyarakat adalah sangat membanggakan terutama daripada kalangan anak-anak muda di peringkat sekolah rendah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Terdapat tiga kategori bagi Pertandingan Dondang Sayang yang diadakan di Melaka iaitu kanak-kanak berusia tujuh hingga 14 tahun, remaja (15 hingga 25 tahun) serta dewasa (26 hingga 40 tahun).

Pertandingan di peringkat akhir yang dianjurkan secara hibrid baru-baru ini menyaksikan tujuh peserta bersaing merebut kejuaraan kategori kanak-kanak, manakala enam peserta untuk kategori remaja dan dewasa.

Mengulas lanjut, Razim berkata, pemilihan penganjuran pertandingan pantun itu dibuat berdasarkan minat masyarakat setempat di negeri bersejarah Melaka terhadap seni Dondang Sayang.

Menurutnya, bagi masyarakat setempat di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pertandingan ‘Battle of The Band’ telah dilancarkan sebelum ini namun terpaksa dihentikan seketika bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pendemik Covid-19 yang tidak membenarkan orang ramai berkumpul.

“Pertandingan ‘Battle of The Band’ bertemakan anti rasuah ini terpaksa diberhentikan seketika ekoran peserta tidak boleh berlatih dan memasuki pertandingan susulan SOP ketat sepanjang pandemik namun pertandingan ini akan disambung semula dan diharap dapat memupuk rasa benci masyarakat terhadap perbuatan rasuah sejak dari usia muda,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, Razim berkata, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM bercadang menganjurkan Pertandingan Boria pada tahun depan di negeri daerah utara berdasarkan minat masyarakat di utara terutama di Pulau Pinang yang meminati kesenian tersebut.

Katanya, selain dapat memberi pemahaman dan menyemai rasa benci terhadap amalan jijik rasuah, masyarakat juga dapat mencintai budaya bangsa yang harus dipelihara selama-lamanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here