Home Rasuah Busters Pengurus hartanah, isteri didakwa rasuah

Pengurus hartanah, isteri didakwa rasuah

0
Pengurus hartanah, isteri didakwa rasuah

SHAH ALAM – Seorang pengurus hartanah syarikat minyak dan gas serta isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 18 pertuduhan menerima rasuah dan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM1.17 juta antara tahun 2018 dan 2019.

Bagaimanapun, Len Chia Whey, 37, dan Tong Karen, 36, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Chia Whey berdepan pertuduhan menerima suapan wang tunai RM232,593 melalui orang tengah sebagai upah membantu Syarikat KK Choong Synergy Sdn Bhd mendapatkan empat projek subkontrak pam minyak iaitu di Mukim Semabok, Melaka; Pekan Tanjung Karang dan Mukim Ijok, Kuala Selangor serta Mukim Tebrau di Johor Bahru.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Setia Eco Glades, Cyberjaya antara 3 hingga 5 petang pada 24 Mei 2019 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Chia Whey juga didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM757,986 ke dalam akaun simpanannya di enam bank selain memiliki tunai dalam bentuk mata wang asing iaitu Pound Sterling, Euro, Yen, Yuan, Dolar Hong Kong, Kronur, Peso, Rupiah, Baht, Dolar Amerika Syarikat dan Dolar Singapura.

Karen pula berdepan lima pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM188,000.

Bagi pertuduhan ini, mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Maziah Mohaide dan Allan Suman Pillai menawarkan jaminan sebanyak RM90,000 bagi 13 pertuduhan yang dihadapi Len serta RM30,000 kepada Karen dengan seorang penjamin selain pasport serta dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Gooi Soon Seng, yang mewakili pasangan itu, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan akaun mereka telah dibekukan.

Beliau berkata, bapa Karen diserang penyakit angin ahmar manakala adiknya adalah pesakit skizofrenia dan dirawat di Sabah, oleh itu, wanita tersebut agak keberatan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan Chia Whey diikat jamin sebanyak RM90,000 manakala Karen sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain pasport serta dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 19 April sebagai sebutan semula kes.

Rozilah berkata, tertuduh boleh memohon pelepasan pasport sementara untuk melawat adiknya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here