SEREMBAN – Perbuatan meminta dan memberi rasuah perlu dicegah agar tidak terus menular dalam masyarakat.
Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Malaysia, Mohd Aryan Kailash Arumugam berkata, pelaksanaan membanteras rasuah perlu dilakukan dari sekarang supaya generasi akan datang bersih dan bebas daripada jenayah itu.
“Sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk kita membasmi rasuah, memang betul bukan mudah tetapi kalau kita dapat tingkatkan kesedaran masyarakat mengenai betapa jijiknya memberi dan menerima rasuah itu, pasti usaha ini akan berjaya.
“Rasuah ini ibarat penyakit kanser, sukar untuk dirawat tetapi tidak mustahil untuk disembuhkan, jika ada azam dan usaha pasti kita dapat mendidik masyarakat untuk menolak rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Aryan berkata, keutamaan harus diberi kepada pemberi rasuah kerana mereka yang memberi itu lebih teruk perangainya berbanding mereka yang menerima.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kedua-dua individu (pemberi dan penerima) perlu diberi hukuman yang seberat-beratnya kerana rasuah itu tidak akan berlaku di sebelah pihak sahaja.
“Kita berharap ‘Sinar Rasuah Busters’ dapat membongkar semula isu dan kes rasuah dalam negara, serta kesan yang diterima oleh mereka yang terlibat untuk dijadikan teladan kepada masyarakat.
“Kami di bahagian NGO menyokong usaha ini dan berharap ia akan berterusan demi memastikan generasi dan pewaris negara akan datang bersih serta bebas rasuah,” katanya.