Home Rasuah Busters Pegang prinsip walau berdepan tekanan politik, pendanaan – Rasuah Busters

Pegang prinsip walau berdepan tekanan politik, pendanaan – Rasuah Busters

0
Nurhayati
Nurhayati (tengah) bercakap dalam Forum Khas, Jakarta Statement: Solusi ASEAN Lawan Rasuah yang dihoskan Haizir Othman (kanan) dan turut menampilkan Presiden Kesatuan Anti Rasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed (kiri) serta Pengerusi Sea Actions, Mochamad Praswad Nugraha. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM – Individu yang berkuasa perlu berpegang kepada prinsip kebenaran walaupun berdepan cabaran politik atau tekanan pendanaan supaya matlamat membanteras rasuah dan memelihara integriti tercapai tanpa dipengaruhi pihak berkepentingan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, perjuangan menentang rasuah tidak boleh digoyahkan hanya kerana berlaku perubahan struktur politik atau kepentingan pihak tertentu.

“Adakah kita akan memegang kepada kebenaran atau memegang apa yang diinginkan oleh pihak yang memberikan pendanaan semata-mata? Kerana itu, memegang prinsip amat penting. Cabaran juga timbul apabila individu yang kita perjuangkan perlu ditegur. Adakah kita akan menegur atau membiarkannya?

“Berubahlah struktur politik itu bagaimana sekali pun, namun apa yang disasarkan itu tetap perlu kita pegang. Fitrah manusia memang akan goyah, jadi bagi orang Islam, kembalilah kepada al-Quran dan sunah.

**media[3087385]**

“Dalam konteks Malaysia pula, kita ada Rukun Negara dan kini kita ada panduan Penyata Jakarta mengenai Prinsip Agensi Pencegah Rasuah 2012 (Penyata Jakarta 2012),” katanya dalam Forum Khas, Jakarta Statement: Solusi ASEAN Lawan Rasuah di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Nurhayati berkata, kebergantungan terhadap sumber pendanaan juga boleh menjadi cabaran besar kepada masyarakat sivil jika prinsip tidak dijadikan asas.

Mengulas mengenai Penyata Jakarta 2012, beliau berkata, walaupun prinsip tersebut dikeluarkan pada tahun itu, namun ia penting untuk difahami semula kerana memerlukan penambahbaikan dan pembaharuan.

Nurhayati turut menekankan kepentingan Southeast Asia Anti-Corruption Conference: Recalling Jakarta Statement yang akan menjadi tumpuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 April ini.

“Adakah kita mahu menjadikan ini semata-mata suatu persidangan ‘touch and go’ atau disambut oleh negara-negara ASEAN dan kemudiannya diimplementasikan walau apa cara sekali pun supaya usaha itu terus berlangsung?

“Di sini, kita perlukan iltizam politik dan keberanian yang amat tinggi. Begitu juga bagaimana masyarakat sivil perlu bersama-sama bergerak untuk memastikan perubahan politik tidak menggugat usaha reformasi… bagaimana kita hendak tarik semula individu yang telah tersasar.

“Sebab yang berubah itu politik, tetapi masyarakat sivil tetap ada, membawa agenda perubahan,” ujarnya.

Persidangan itu yang merupakan platform untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha membanteras rasuah, dijangka menghimpunkan wakil agensi antirasuah, masyarakat sivil dan pembuat dasar dari negara ASEAN bagi menilai semula pelaksanaan prinsip dalam Penyata Jakarta 2012 yang menekankan kebebasan, keberkesanan serta akauntabiliti agensi antirasuah.

Dalam pada itu, kata Nurhayati, penglibatan masyarakat sivil dalam akses maklumat, pendidikan awam dan pembuatan keputusan adalah kunci untuk memastikan gerakan antirasuah mendapat kepercayaan awam melalui jalinan strategik yang menyeluruh.

Jelasnya, masyarakat sivil berperanan sebagai mata dan telinga rakyat serta perlu dilibatkan secara aktif dalam proses pencegahan rasuah.

“Ia berperanan menyampaikan suara kebimbangan rakyat, memastikan institusi atau agensi terbabit bertanggungjawab atas amanah yang dipikul dan bertindak sewajarnya pada saat yang kritikal.

“Masyarakat sivil juga menjadi pendukung undang-undang, pendorong kepada reformasi perundangan dan institusi seperti yang digariskan dalam Penyata Jakarta 2012.

“Inilah semangat Penyata Jakarta yang perlu digarap untuk sebuah ASEAN yang lebih proaktif. Masyarakat sivil perlu berada di meja rundingan untuk mengemukakan pandangan dan bersama dalam penyelarasan bagi mencapai hasil yang optimum demi kepentingan rakyat dan negara,” tambahnya.