SHAH ALAM – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyarankan agar kempen kesedaran antirasuah perlu dimulakan di peringkat bawahan seperti di sekolah.
Presidennya, Brigadier Jeneral (Bersara), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, di peringkat bawahan itu perlu dimulakan dengan pendidik yang akan mendidik pelajar mereka di sekolah.
“Pendidik mesti tunjukkan tauladan. Masukkan unsur-unsur anti rasuah kepada pelajar sekolah.
“Bila mereka telah membesar, mereka akan berfikir dan mengingati apa yang diajar di sekolah. Mereka takkan lupa,” katanya kepada Sinar Harian.
Patriot juga telah mengadakan satu Perbincangan Kolaboratif #RasuahBusters bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamed Arshad berpendapat, kempen untuk menyemai semangat anti rasuah yang bermula dari bawah itu merupakan cara yang terbaik bagi membanteras rasuah.
“Untuk menghapuskan rasuah dalam tempoh jangka pendek tidak mungkin berlaku. Sekarang ini, kesedaran anti rasuah ini mesti dimulakan di peringkat sekolah lagi,” katanya.
Mohamed Arshad beranggapan, untuk menghapuskan rasuah yang ada pada masa sekarang adalah sukar.
“Hati mereka telah tertutup. Mereka juga tidak mengaku melakukan rasuah,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan itu juga Patriot akan menyasarkan kempen kesedaran anti rasuah itu kepada golongan muda.
Dalam pada itu, Mohamed Arshad yang pernah berkhidmat selama 32 tahun dalam ketenteraan berkata, semasa dalam perkhidmatan, beliau tidak menyedari bahawa isu rasuah semakin parah.
“Saya baru sedar masalah rasuah ini apabila saya bersara dalam perkhidmatan. Rupanya teruk sampai sekarang.
“Tengok apa yang berlaku seperti yang dipaparkan dalam berita, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan sebagainya berpuluh orang kakitangan terlibat rasuah.
“Itu yang kami hendak bersama Sinar Harian bagi mencari jalan membanteras rasuah,” katanya.
Pada 16 Januari, Hussamuddin melancarkan gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa.
Tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya gerakan massa oleh Sinar Harian dengan mewujudkan Rasuah Busters itu sebenarnya sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.