Home Rasuah Busters Pandemik rasuah, virus kemunafikan

Pandemik rasuah, virus kemunafikan

0
Pandemik rasuah, virus kemunafikan

SEBAGAI seorang rakyat Malaysia (beragama Islam, berketurunan Melayu, berumur 78 tahun) yang tidak pernah berafiliasi dengan mana-mana parti politik sampai sekarang, saya merasa amat kecewa, sedih dan malu dengan gejala kefasadan (keburukan, kemerosotan dan keruntuhan akhlak) dalam bidang politik dan pemerintahan negara sejak dua pilihan raya umum lalu (daripada tahun 2013 hingga Januari 2021).

Bukan sahaja agenda perpaduan nasional terbengkalai akibat kemunculan fenomena polarisasi kaum dan agama yang tajam tetapi halatuju politik menjadi semakin bersimpang-siur dan budaya politik pula semakin memualkan hingga Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong terpaksa beberapa kali mengeluarkan kenyataan betapa bimbangnya mereka dengan krisis politik Malaysia.

Ramai pemerhati dan penganalisis politik membuat analisis masing-masing mengenai pelbagai faktor yang telah dan sedang membawa negara ke arah jurang perpecahan merbahaya − apatah lagi dengan wujudnya pandemik Covid-19.

Apa yang diluahkan sebelum ini oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, betapa jeleknya gejala keruntuhan akhlak politik tanah air akhir-akhir ini tetapi apa yang didedahkan sekadar mencerminkan ‘bahagian puncak dari sebuah gunung ais yang tidak kelihatan saiznya yang besar di bawah paras air’.

Titah baginda: “Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikota atau kata akan bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam.

“Watak sebenar insan akan terpamer apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak…dia tidak perlu menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan.

“Begitu juga dia tidak perlu melakukan ugutan atau ancaman untuk membina kekuatan diri kerana kekuatan yang diperoleh secara demikian teramat rapuh sifatnya”.

Apa yang dirumuskan oleh seorang tokoh media dan pemimpin masyarakat yang terkenal masa kini, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub setahun yang lalu juga perlu diamati kerana beliau amat dekat dengan realiti masyarakat dan kemelut politik Malaysia di awal abad ke-21 ini yang mencapai kemuncaknya dengan skandal 1MDB, sehingga Malaysia dilihat oleh dunia luar sebagai negara yang dipimpin oleh sistem kleptokrasi – istilah yang belum pernah didengar oleh rakyat Malaysia.

Hussamuddin antara keluhannya berkata: “Zaman kita sekarang akhlak kita teruk dengan pemimpin rasuah, menipu, menggunakan kemudahan tetapi tidak jaga rakyat. Peruntukan dibelanjakan untuk membiayai pesta-pesta”.(Sinar Harian 10 Januari 2020).

Saya juga bersetuju dengan apa yang disebut oleh jurnalis dan penulis termasyhur, Tan Sri Johan Jaaffar mengenai keperluan ‘lahirnya sebuah budaya politik baharu’ yang akan ‘membantu mewujudkan satu ekosistem politik yang lebih baik dan membawa kewarasan dalam budaya politik kita’ (“help create an improved political eco-system and to bring sanity to our political culture”. Johan Jaaffar, The birth of a new political culture? The Star, 28 September 2020).

Kenyataan seorang intelektual awam dan pemimpin masyarakat berbilang kaum yang terkenal sekian lama dan yang saya hormati idea-idea positif beliau selama dua dekad belakangan iaitu Tan Sri Lee Lam Thye (pemegang amanah Malaysia Unity Foundation) perlu disambut baik oleh semua rakyat berbilang kaum yang inginkan keamanan, kesejahteraan dan perpaduan masyarakat:

“As the new year arrives, Malaysians must continue to remain united and resilient in facing challenges that the pandemic has brought… Achieving unity is not by sloganeering but by the government’s implementation of fair and just policies to benefit all Malaysians… In managing the such difficult times, good governance and integrity are essential”. (The Star, 2 January 2021).

Setelah merujuk kepada pandangan beberapa pemimpin masyarakat yang dihormati, saya ingin menjelaskan bahawa saya akan hanya menyentuh dua di antara pelbagai faktor besar yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan bangsa Melayu, umat Islam dan masyarakat Malaysia iaitu amalan korupsi yang berleluasa dalam dunia politik kepartian yang membenarkan apa yang pernah diramalkan oleh Lord Acton pada tahun 1887:

“Power tends to corrupt; absolute power corrupts absolutely”, dan sebaran ‘virus’ kemunafikan politik yang menjadikan kaedah pragmatisme Machiavelli ‘tujuan menghalalkan cara’ suatu kebiasaan yang lumrah dalam percaturan merebut kuasa politik di antara parti pemerintah dengan parti pembangkang.

Apa yang saya maksudkan dengan gejala ‘Pandemik Rasuah’ ialah berleluasanya amalan tidak bermoral dan/atau menyalahi undang-undang di mana terdapat pemberi dan penerima rasuah sama ada dalam bentuk wang atau bukan kewangan di mana si pemberi mengharapkan untung, manfaat atau apa yang dikehendakinya sebagai balasan daripada pemberiannya.

Rasuah dalam pengertian yang luas itu melibatkan apa yang tersebut dalam titah Sultan Nazrin Shah sebagai ‘menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan’ atau ‘melakukan ugutan atau ancaman untuk membina kekuatan diri’.

Terlalu banyak contoh kepelbagaian jenis rasuah yang bertentangan dengan prinsip-prinsip, hukum-hukum atau norma-norma agama atau yang bertentangan dengan nilai moral atau yang bercanggah dengan undang-undang negara.

Apa yang merisaukan ialah jenis-jenis rasuah politik di Malaysia sudah sampai ke tahap berleluasa sehingga menjadi suatu macam penyakit pandemik yang belum ada vaksinnya.

Tetapi semakin genting perebutan kuasa, semakin inovatif amalan membeli atau menambah sokongan, kesetiaan, perlindungan, jumlah tertentu untuk mendapat kedudukan majoriti atau kepintaran manipulasi sistem demokrasi atau undang-undang – semuanya demi kepentingan politik parti atau kepentingan kelompok dalam parti atau kepentingan individu yang mempunyai agenda politik tertentu tanpa melalui proses atau norma demokrasi.

Amalan rasuah sedemikian sangat erat hubung kaitnya dengan amalan kemunafikan kerana untuk membawa hasil yang dikehendaki, si pelaku harus menampilkan diri, kelompok, parti, janji, manifesto, retorik, dan propaganda sebagai pembela/pejuang/wira kepentingan negara atau bangsa atau parti atau agama.

Walaupun apa yang dilakukan pada hakikatnya adalah suatu kebohongan, penipuan, kedustaan atau pengkhianatan yang terselubung – ‘cakap tak serupa bikin’ − atau apa yang disebut oleh Sultan Nazrin Shah sebagai “kata tidak lagi dikota atau kata akan bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam”.

Mungkin dalam kalangan ahli parti politik, wujud tanggapan atau rasa yakin bahwa amalan ‘rasuah kemunafikan’ itu sebenarnya menguntungkan atau mendatangkan manfaat untuk bangsa atau parti politik mereka.

Oleh itu, kemungkaran itu ‘boleh diterima dalam dunia politik’ walaupun ia bertentangan dengan ajaran, norma dan nilai agama.

* Profesor Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan ialah Tokoh Akademik Negara

>>> Bersambung esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here