
SHAH ALAM – Semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai perlu menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat bagi mencegah jenayah rasuah di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad berkata, tanggungjawab membanteras rasuah tidak seharusnya diletakkan di atas bahu satu agensi sahaja.
Menurutnya, peranan itu perlu dipikul bersama oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Apabila kita sebut jenayah rasuah ini, maka semua daripada pihak berkuasa, kementerian-kementerian sehinggalah rakyat biasa perlu jadi mata dan telinga dalam usaha membanteras amalan itu.
“Semua perlu memainkan peranan memandangkan budaya rasuah sudah berakar dalam sistem dan memerlukan usaha lebih serius untuk dibanteras,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berpandangan, amalan rasuah yang berlaku dalam negara sudah membentuk satu rangkaian besar melibatkan banyak peringkat dan berlarutan dalam tempoh lama.
“Dalam banyak kes, rasuah ini melibatkan satu rangkaian panjang bermula dari kontraktor ke peringkat atasan, bahagian fail, akaun dan pembayaran projek dan sebagainya,” kongsinya lagi.
Justeru, Zulkifli menyarankan kempen kesedaran terhadap bahaya rasuah perlu dilakukan secara berterusan dan menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada iklan atau kempen di televisyen sahaja.