Home Rasuah Busters Nan Hidayat bangga hasilkan lirik lagu Rasuah Busters

Nan Hidayat bangga hasilkan lirik lagu Rasuah Busters

0
Nan Hidayat bangga hasilkan lirik lagu Rasuah Busters

SHAH ALAM – Pengalaman menggubah lagu dan lirik yang dibuat secara ‘suka-suka’ sejak zaman belajar digunakan sepenuhnya oleh pengamal media, Nan Hidayat Nan Azmie untuk mencipta lirik Apa Dah Jadi.Video klip kempen antirasuah Apa Dah Jadi yang merupakan nyanyian asal Tan Sri S.M Salim dan dinyanyikan semula oleh pelawak terkenal, Douglas Lim itu mendapat sambutan luar biasa serta tular di media sosial.

Nan Hidayat atau lebih dikenali dengan panggilan Daei berkata, sebelum bergelar wartawan akhbar Kosmo pada tahun 2005 dan menyertai Sinar Harian pada pertengahan tahun ini, minatnya dalam bidang seni memang tidak pernah diketepikan.

Beliau yang kini bertugas sebagai Penolong Pengarang Berita The Star berkata, minat mendalam terhadap bidang seni mendorongnya mencipta lagu Terbaik Di Kalangan Terbilang untuk Kolej Profesional Mara Indera Mahkota, Kuantan, Pahang pada 2004 dan ia masih digunakan hingga kini.

Nan Hidayat berkata, meskipun mempunyai tugas harian sebagai wartawan akhbar nasional, beliau tetap aktif dalam penghasilan lagu dan lirik secara underground. Malah dua lagu ciptaannya, Lebih Disayang Tuhan serta Berkongsi Langit secara tiba-tiba tular pada tahun 2018.

“Lirik Apa Dah Jadi untuk kempen Rasuah Busters merupakan lirik kedua saya bersama Sinar Harian selepas lirik lagu Perkasakan Suara Malaysia nyanyian Aizat Amdan yang dicipta bersama komposer terkenal iaitu Anas Amdan, Mel Ramlan, Abner Kissey dan Satugram.

“Satu penghormatan buat diri saya apabila diberi peluang menulis semula lirik Apa Dah Jadi untuk versi kempen Rasuah Busters ini. Terima kasih buat Sinar Harian terutama Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf kerana mempercayai kebolehan saya,” katanya.

Mengulas mengenai pembabitan untuk penghasilan lagu Apa Dah Jadi, Nan Hidayat berkata, beliau secara peribadi mengakui kebolehan Douglas Lim untuk membawa lagu tersebut dengan baik dan berkesan.

Jelasnya, personaliti unik bekas pelakon sitkom Kopitiam itu mampu menarik orang ramai menghayati lirik-lirik nasihat yang terkandung dalam lagu kempen Rasuah Busters tersebut.

“Saya teruja dengan aura Douglas Lim yang boleh membawakan tiga personaliti dan tiga cara nyanyian bagi menggambarkan kepelbagaian rakyat Malaysia.

“Saya berharap lagu ini menjadi detik permulaan buat orang ramai untuk katakan tidak kepada rasuah sekali gus dapat memastikan negara sentiasa berpaksikan integriti tanpa mengira pangkat dan status,” katanya.

Ditanya perkembangan projek seninya, Nan Hidayat berkata, beliau kini dalam usaha menghasilkan lagu terbaharu berjudul Bersalam Dengan Dosa untuk OST sebuah drama dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here