SHAH ALAM – Tuntutan pasukan Rasuah Busters menerusi inisiatif Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang mendesak supaya pimpinan negara menjayakan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) disifatkan tepat pada masanya.
Setiausaha Gabungan Anti Rasuah Nasional (GARAS), Datuk Nik Rosman Nik Daud berkata, langkah itu merupakan satu permulaan yang sangat baik dalam memastikan matlamat Malaysia tanpa rasuah dapat dijayakan pada masa mendatang.
“Saya rasa ini satu permulaan yang baik untuk negara kita di mana kita perlu ke hadapan dalam menangani isu-isu rasuah yang sudah lama membarah dalam masyarakat kita.
“Inisiatif ini saya rasakan ia satu pergerakan yang baik untuk merealisasikan supaya negara kita bebas daripada rasuah yang sebenar-benarnya,” katanya kepada Kru Rasuah Busters.
Terdahulu Rasuah Busters bersama lebih 400 gabungan meneruskan misi membawa transformasi nilai melalui inisiatif Politik #MalaysiaTanpaRasuah dengan membawa enam tuntutan.
Nik Rosman berkata, meskipun ia bakal mengambil masa, langkah tuntutan berkenaan merupakan satu tanda positif ke arah mendesak pimpinan negara ‘membersihkan’ Malaysia daripada rasuah.
“Mungkin ia mengambil masa tetapi dalam konteks ini kita mesti bermula hari ini dan saya yakin ia merupakan salah satu daripada permulaan yang baik untuk kita terus menjadikan rasuah adalah jenayah besar dan perlu ditolak,” katanya.
Pelan NACP merupakan dasar anti rasuah yang mencerminkan harapan tinggi rakyat untuk negara bebas rasuah yang mengamalkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti.
Visi NACP mewujudkan negara bebas rasuah melalui penetapan tiga matlamat khusus iaitu Kebertanggungjawaban dan Kredibiliti Kehakiman, Pendakwaan dan Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang; Penyampaian Perkhidmatan Awam yang cekap dan Integriti dalam Perniagaan.
NACP menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah menerusi 115 inisiatif untuk dilaksanakan.
Melalui enam strateginya, NACP akan memastikan usaha pembanterasan rasuah diperkemas di kalangan aktor politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan pihak yang berkepentingan.
Para pemegang taruh dijangka membangunkan NACP dalam menangani isu integriti, tadbir urus dan antirasuah dalam organisasi masing-masing.