Home Rasuah Busters Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters ke Sri Muda

Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters ke Sri Muda

0
Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters ke Sri Muda

SHAH ALAM – Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters siri keempat diteruskan ke Taman Sri Muda, Seksyen 25 yang teruk dilanda banjir baru-baru ini.

Gerakan Gabungan Rasuah Busters yang diterajui oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikram, Haluan dan Gema, seramai 70 orang turun padang membersihkan tiga buah sekolah yang terjejas serta membuka kaunter perkhidmatan di pekarangan Balai Polis Sri Muda pada Sabtu.

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, berbeza dengan misi sebelum ini, tumpuan diberikan kepada program khidmat kaunseling di samping pemeriksaan kesihatan dan perubatan melalui khidmat klinik bergerak kepada mangsa banjir.

“Selain sokongan bantuan makanan, pakaian dan sebagainya sebenarnya tahap kesihatan tubuh badan mereka ini juga harus diberi perhatian selain sokongan psikologi kerana rata-ratanya trauma dengan bencana yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Nik Justin, paling ketara sewaktu misi di Bestari Jaya, 300 penduduk kampung hadir untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan perubatan.

“Jadi dalam setiap misi ini, kita akan bawa sekali sebuah ambulans bagi memudahkan rawatan dibuat terus, lengkap dengan bantuan perubatan dan bekalan vitamin agar tubuh mereka terus sihat dan tidak dijangkiti penyakit,” katanya.

Sebelum ini, Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters telah berkhidmat dengan jayanya di Kampung Kebun Bunga (Batu 3), Kampung Lombong (Seksyen 29), Bestari Jaya (Kuala Selangor) manakala pada 4 dan 8 Januari konvoi akan menjengah penduduk di Bukit Changgang (Banting) dan Kampung Asahan, Parit Mahang (Kuala Selangor).

Dalam pada itu, Justin berharap karenah birokrasi tidak berlaku kerana ia mengganggu urusan memandangkan bantuan yang disalurkan adalah untuk mangsa yang terjejas.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, pasukan pemeriksaan kesihatan dan kaunseling kali ini diketuai oleh Dr Siti Munirah Ibrahim.

“I-Care sebuah NGO daripada Pulau Pinang turut membantu melancarkan proses mengagihkan borang bantuan banjir, cetak dokumen dan membersihkan sekolah terlibat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here