Home Rasuah Busters Memupuk tiga elemen memerangi rasuah

Memupuk tiga elemen memerangi rasuah

0
Memupuk tiga elemen memerangi rasuah

Kerajaan perlu meyakinkan rakyat dengan melaksanakan kesungguhan melawan rasuah. Gambar kecil: Osman

SHAH ALAM – Tiga elemen penting untuk memerangi rasuah ialah pendidikan, pencegahan yang berkesan dan pengkuatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Pulau Pinang, Datuk Osman Hussain berkata, ketiga-tiga perkara itu merupakan tiga elemen penting demi untuk generasi akan datang.

“Kerajaan perlu yakinkan rakyat dengan melaksanakan kesungguhan melawan rasuah kerana rakyat pada hari ini lebih celik akal.

“Jika ketiga-tiga elemen ini tidak dititikberatkan akan memberi implikasi terhadap generasi masa hadapan,”ujarnya pada Sabtu.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan terus memperjuangkan isu membanteras rasuah ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Anwar dalam ucapannya menegaskan, belanjawan itu mesti memberikan mesej yang jelas bahawa rasuah dan penyelewengan tidak boleh diteruskan lagi di negara ini.

Dalam pada itu, Osman ketika mengulas perkara tersebut berkata, tata kelola dalam urusan pentadbiran negara amat penting supaya dapat memenuhi aspirasi rakyat.

“Rakyat mengharapkan ketelusan kerajaan dalam memerangi rasuah secara adil dan saksama.

“Kerajaan perlu memberi keyakinan dan bukan sekadar meriuhkan suasana untuk menghapuskan rasuah tetapi secara realiti ia tidak begitu,” katanya.