SHAH ALAM – Masyarakat perlu memilih pemimpin yang jujur untuk menggalas tanggungjawab dan bukan berdasarkan status kaum atau agama.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, sekiranya sistem nilai masyarakat mendahulukan ukuran daripada aspek berkenaan, maka mereka telah melakukan ketidakadilan kepada Islam.
“Antara memilih pemimpin Melayu Islam yang melakukan rasuah atau yang bukan Islam tetapi bersih dan tidak melakukan rasuah, mana satu kita nak bagi (jadi pemimpin)?
“Tetapi ‘barometer’ kita, asalkan Melayu Islam tidak apa walaupun rasuah. Cara berfikir ini harus diubah.
“Jadi apa yang kita kena buat, kita kena pilih pemimpin yang jujur dan berdoa supaya dia mendapat hidayah yang sepatutnya,” katanya pada persidangan meja bulat ‘Integriti dan Tata Kelola Negara: Di Mana Kedudukan Malaysia? menerusi aplikasi Zoom pada Khamis.
Persidangan itu turut menampilkan Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Institut Darul Ehsan, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman; Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan dan Penyelidik Maqasid Institute Malaysia, Marwan Bukhari Abd Hamid.
Turut sama ialah bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah; Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Atiqah Syairah Shaharuddin dan Ketua Eksekutif Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Ooi Heng yang bertindak sebagai pengulas.
Dalam pada itu, Hussamuddin berkata, pemimpin yang beragama Islam perlu bersyukur kerana dilahirkan sebagai Muslim yang dididik dengan penerapan al-Quran dan sunnah.
“Tetapi malangnya ada yang khianat. Dalam al-Quran jyga ada menyebut berkali-kali supaya jangan ikut orang zalim.
“Ini dia (pemimpin) menzalimi, Tuhan pun dia tipu, apa lagi kita rakyat biasa. Maknanya dia menzalimi diri dan jika kita masih mengikut dia juga, kita menzalimi kita,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Samat berkata, rasuah perlu dilihat sebagai satu perbuatan yang jijik dan tidak baik.
“Sebagaimana orang Islam berasa jijik dengan khinzir, begitulah juga gambaran yang perlu diberikan terhadap pelakuan rasuah.
“Justeru, marilah kita sama-sama menerapkan elemen ini ke dalam sistem pendidikan dengan meningkatkan kepentingan konsep ‘kebabian rasuah’,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Samad berkata, terdapat pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dalam membanteras rasuah, namun pencapaiannya itu dilihat masih meragukan.
“Kita sudahpun menggariskan 82 inisiatif. Kita bercakap soal penambahbaikan undang-undang, kebebasan bersuara dan juga akses kepada kemudahan pencapaian maklumat mengenai rasuah. Namun, sejauh manakah keberkesanannya?” soalnya.