JAKARTA – Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha mencegah perbuatan korupsi bagi membentuk masyarakat bebas rasuah sepanjang lima tahun lalu, menurut Malaysia Corruption Watch (MCW).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pelbagai siasatan, tangkapan dan pendakwaan telah dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk mengekang kesalahan rasuah.
“Setakat lima tahun ini kami dapati bahawa Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia,” katanya kepada media selepas melawat Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia, di Jakarta Selatan pada Selasa.
Badan bukan kerajaan itu menyarankan Perdana Menter, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tindakan tegas terhadap pesalah rasuah demi memastikan Malaysia semakin dikenali sebagai negara yang berintegriti dan bermoral.
“Harapan MCW, kerajaan hari ini akan melakukan yang terbaik demi masa depan rakyat dan negara,” kata Jais, sambil menambah pendekatan menghapuskan rasuah mengembalikan keyakinan pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.
Pengasas MCW itu juga berharap ahli politik tidak mengganggu-gugat siasatan SPRM sebaliknya memberi sokongan dan maklumat yang diperlukan berhubung kes-kes terkini.
Beliau percaya, SPRM sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan siasatan segera diselesaikan supaya ahli politik boleh fokus kepada tugas mereka di Parlimen.
“Rakyat tidak mampu lagi untuk berdepan dengan politik sepanjang masa. Kita harus fokus kepada pembinaan negara. Kes rasuah melibatkan ahli politik perlu ditamatkan segera,” katanya.
Jais berkata demikian ketika ditanya mengenai siasatan SPRM berhubung dana pengurusan Covid-19 berjumlah RM92.5 bilion yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021.
Beliau dan 24 ahli terdiri daripada golongan profesional dan akademik tiba di Jakarta pada Ahad untuk lawatan tiga hari sempena Hari Antirasuah Antarabangsa, setelah kali terakhir berkunjung pada 2017.
Selain bertemu dengan Indonesia Corruption Watch, mereka turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia, Adlan Mohd Shaffieq.
Lawatan itu bertujuan bertukar-tukar pandangan, belajar dan menilai program terkini yang dilaksanakan agensi membanteras rasuah di Indonesia untuk dikemukakan kepada SPRM dan kerajaan. – Bernama