Home Rasuah Busters Malaysia 'bersih' dengan KRPPM

Malaysia 'bersih' dengan KRPPM

0
Malaysia 'bersih' dengan KRPPM

Dari kanan, Syed Ibrahim, Wan Saiful, Nurhayati dan Poay Tiong bergambar kenangan selepas majlis perbincangan dan penubuhan KRPPM yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Rabu.Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin (berdiri) menyampaikan ucapan aluan kepada sebahagian ‘select committee’ KRPPM di Kompleks Karangkraf pada Rabu.

SHAH ALAM – Mewujudkan sebuah negara Madani yang bersih daripada rasuah memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk parti politik di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) yang sebelum ini dilaksanakan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu digerakkan semula demi menyejahterakan Malaysia daripada isu rasuah dan salah laku.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP berkata, usaha perlu dijayakan semua pihak termasuk sokongan penuh pemimpin parti politik yang sebelum ini berbeza fahaman dan ideologi masing-masing.

Menurutnya, KRPPM selama ini mendapat sokongan daripada masyarakat sivil mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk memupuk nilai dan karakter antirasuah dalam kalangan masyarakat, seterusnya menolak sebarang amalan salah laku yang merugikan negara.

“KRPPM merupakan satu gerakan yang baik kerana membawa agenda sangat bagus untuk menyejahterakan negara daripada amalan buruk terutamanya perbuatan rasuah.

“Menjadi satu kelebihan apabila kumpulan ini yang melibatkan hampir kesemua parti apabila mendapat sokongan kedua-dua pihak iaitu daripada kerajaan dan pembangkang.

“Dalam usaha kita (kerajaan) untuk membuat banyak transformasi kepada negara, maka kita perlu mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk ahli-ahli politik biarpun berbeza pandangan sebelum ini,” kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perbincangan antara Jawatankuasa Pilihan Khas KRPPM bersama pasukan Rasuah Busters yang diadakan di Kompleks Karangkraf.

Hadir sama pasukan teras Rasuah Busters, Shah Hakim Zain; wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan; wakil Parti Amanah Negara (Amanah), Azli Yusof serta wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, pelaksanaan KRPPM merupakan satu inisiatif yang sangat bagus kerana ia membuka ruang kepada semua pihak untuk sesi perbincangan dan memberikan input berguna membangunkan sebuah negara yang bersih.

Jelasnya, satu perkembangan baik yang dibawa oleh KRPPM untuk membangunkan negara yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

“Perkara melibatkan antirasuah dan integriti ini perlu sokongan daripada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Apabila adanya KRPPM, ia dapat mengetepikan agenda politik parti dan memfokuskan kepada kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

**media[2086139]**

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, setiap ahli Parlimen bertanggungjawab menggubal undang-undang dan memastikan kesejahteraan negara termasuk mereformasi institusi agar menjadi lebih baik dan mencari penyelesaian tentang isu rasuah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, wakil rakyat bertanggungjawab berikutan amanah yang diberikan rakyat sekali gus perlu melaksanakan prinsip kebebasan meskipun wajib mematuhi prinsip di bawah jalur parti dan rakan gabungan parti masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here